`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, March 13, 2025

Pilihan bukan di tangan Tengku Zafrul

 

hishamuddin-aun

Ketika timbul ura-ura Tengku Zafrul Aziz mahu bertukar parti tiga bulan lepas, keadaannya gegak-gempita daripada suara-suara yang membantah. Bermacam-macam yang dikatakan kepadanya – daripada seorang yang tidak berprinsip, tidak tegas mempertahankan pendirian hinggalah kepada memikirkan kepentingan dirinya semata-mata.

Di sebalik keras sekali bunyinya, ia juga bermaksud Umno, terutama Umno Selangor, masih sayangkannya dan tidak mahu kehilangannya kepada PKR. Mujur keriuhannya reda sejak itu sehinggalah ia kini dilihat berkocak semula.

Elok disorot semula apa yang berlaku ketika itu. FMT dalam laporannya pada 13 Dis lepas memetik sumber-sumber dalaman Umno Selangor sebagai mendedahkan rundingan sengit sedang berjalan berhubung kemungkinan Tengku Zafrul meninggalkan Umno untuk menyertai PKR.

Antara lain ura-ura perpindahan Tengku Zafrul – menteri pelaburan, perdagangan dan industri yang dilihat cemerlang dalam Jemaah Menteri Anwar Ibrahim – dikatakan akan membolehkannya memainkan peranan lebih besar dalam pentadbiran dan kemajuan ekonomi Selangor.

“Negeri akan mendapat manfaat daripada pengalamannya. Terdapat banyak kemajuan yang dirancang untuk Selangor dan ada dorongan untuk beliau memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan negeri,” kata sumber.

Lebih daripada itu, beliau turut dilihat sebagai seorang yang ‘unik’ dengan berkhidmat bawah tiga perdana menteri – menteri kewangan dalam pentadbiran Muhyiddin Yassin pada Mac 2020, mengekalkan portfolio itu bawah pentadbiran Ismail Sabri Yaakob dan kini dalam Jemaah Menteri kerajaan perpaduan.

Mengakui ada berbincang dengan PKR ketika itu tetapi tidak membabitkan jawatan pada peringkat negeri mahupun sebagai calon PRK, Tengku Zafrul bagaimanapun berkata, beliau belum membuat sebarang keputusan. Anwar selaku presiden PKR turut mengesahkan ada perbincangan awal sesuai dengan prinsip terbuka parti itu menerima sesiapa sahaja, namun mahu proses itu dilakukan secara baik tanpa menjejaskan hubungan dengan Umno.

Sudah tentu sebelum itu lagi, timbul spekulasi penyertaan Tengku Zafrul dalam PKR didakwa berkait perubahan tampuk pemerintahan Selangor yang diketuai Naib Presiden Amirudin Shari. Lagipun tempoh perkhidmatannya sebagai senator akan tamat pada hujung tahun ini selain wujud pendapat Amirudin selaku pemimpin kanan PKR perlu berkhidmat dengan kerajaan persekutuan.

Namun, kemungkinan itu lenyap apabila Amirudin menegaskan beliau akan kekal di Selangor sehingga ke akhir penggal ini demi menjamin kestabilan ekonomi dan kerajaan perpaduan seperti dinasihatkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Mengulas ura-ura perpindahan berkenaan, Presiden Umno Zahid Hamidi pada 14 Dis lepas hanya berkata, tiada sebarang pemakluman diterimanya daripada Tengku Zafrul, sambil mengingatkan pemimpin Umno untuk menjaga integriti daripada termakan tawaran bersifat kepentingan individu di samping sentiasa utamakan kepentingan parti sendiri.

Cakap berlapik Zahid itu mungkin diperjelas oleh Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki keesokannya bahawa Umno tidak akan menerima dan membenarkan lompat parti bagi mana-mana anggota kerajaan campuran.

“Budaya mengambil ahli atau pemimpin parti masing-masing hanya akan mencetuskan perbalahan dan pertelingkahan hingga menggugat kestabilan gabungan (kerajaan perpaduan),” tegasnya.

“Tidak berprinsip dan tidak berpendirian kecuali memikirkan kepentingan dirinya semata-mata,” kata Ketua Penerangan Umno Selangor Mohd Zaidi Md Zain terhadap Tengku Zafrul yang disifatkannya seorang opportunis yang akan memanfaatkan keadaan bila ada ruang dan peluang.

Isu itu reda apabila tiada lagi perkembangan sejak itu sehinggalah Zahid pada Rabu mengesahkan sudah mengadakan pertemuan dengan Tengku Zafrul minggu lepas. Beliau menasihatkan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) itu agar tidak terburu-buru dalam membuat keputusan berhubung masa depannya dengan parti itu.

Namun, seperti ketika ura-ura perpindahannya ke PKR mula timbul tiga bulan lepas, Tengku Zafrul tidak menyatakan keputusannya dalam pertemuan itu kecuali akur beliau masih ahli Umno. Bersetuju untuk tidak terburu-buru dalam membuat keputusan tidak bermakna beliau akan kekal dengan Umno.

Apatah lagi bukanlah rahsia bahawa beliau dituduh pembelot dalam kalangan Umno sendiri. Belum menyeberang pun, ramai yang berasakan kerosakan dalam hubungannya dengan parti sudah pun berlaku.

Pempengaruh PKR Iswardy Morni mungkin telah memberikan perspektif jelas dalam videonya pada 17 Dis lepas dengan membayangkan peningkatan mendadak Tengku Zafrul dalam politik selepas meninggalkan dunia korporat menjadikannya seorang yang menimbulkan iri hati ramai.

“Sebagaimana kita tahu, beliau bukanlah orang lama dalam Umno, bukan berjuang lama untuk parti. Tiba-tiba ‘diparachutkan’ di Selangor, mendapat jawatan tertinggi, tiba-tiba jadi senator walaupun tak menang (tewas perebutan kerusi Parlimen Kuala Selangor kepada calon PH Dzulkefly Ahmad dengan majoriti 1,002 undi pada PRU15), tiba-tiba menjadi menteri. (Keadaan) ‘tiba-tiba’ (bagi) beliau itu banyak sangat sehingga menimbulkan kerisauan dan kegusaran ahli Umno sendiri,” katanya.

Tidak terkecuali timbul pula laporan dari sumber-sumber konon Tengku Zafrul mungkin terdorong untuk mengintai masa depan dengan PKR disebabkan hubungan tegang dengan ‘panglima-panglima’ dalam Umno, berpunca daripada pengelutan kuasa dan rasa tidak puas hati dalam parti.

“Jadi saya tak terkejut jika ‘warlord’ (panglima) Umno membuat keputusan untuk menyingkirnya. Tengku Zafrul menyedari perkara ini selepas PRN,” sumber beritahu FMT, merujuk prestasi buruk Umno pada PRN 2023 apabila hanya menang dua kerusi daripada 12 kerusi ditandingi di Selangor.

Dakwaan itu seakan-akan diperakuinya dalam satu hantaran media sosialnya pada 15 Dis lepas mengenai serangan belakang tabir tanpa asas dan agenda ‘cah keting’ yang didakwanya masih membelenggu Umno Selangor tanpa ada langkah-langkah mengatasinya.

Namun, dalam pada percaya bahawa hak individu untuk memilih landasan perjuangan ialah hak asasi dan mutlak kerana tanpa keserasian mustahil untuk seseorang individu itu untuk memberi perkhidmatan terbaik, pilihan mungkin bukan di tangannya.

Teguran terbuka Zahid sebelumnya kepada rakan komponen dalam kerajaan perpaduan supaya tidak ‘mencuri’ ahli parti lain kekal menjadi penghalang. Ingatannya supaya Tengku Zafrul tidak terburu-buru tinggalkan Umno jelas sarat berkias. - FMT

Artikel ini ialah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.