
Setiap kali menjelang sesuatu PRK sejak beberapa tahun kebelakangan ini, timbullah Sanusi Nor selaku ketua pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) di pentas ceramah. Mengenakan kemeja biru PN, menteri besar Kedah itu menganggapnya sebagai ‘lesen’ untuk menyerang pihak lawan atas nama ceramah politik.
Menjelang PRK Ayer Kuning pada 26 April ini, ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu harus mendapat motivasi berbeza selepas bebas daripada dua tuduhan menghasut – membabitkan Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, masing-masing di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 Dis dan 23 Feb lalu.
“Ada orang dok dengar secara langsung di bilik gerakan depa mengikuti setiap bait ucapan saya, cari hat salah bukan cari hat betul. Masalah orang la ni dia suka cari salah. Saya pun bertekad tak mau buat salah apa. Saya nak cakap betul ja. Tapi kalau betul kalau pedih, mintak maaf la. Panas tak apa, jangan (koyak),” katanya di awal ucapannya.
Lantas, Majlis Pelancaran Jentera PN bagi PRK DUN Ayer Kuning di Tapah Road pada Sabtu dimanfaatkannya sebagai mengisyaratkan beliau kini kembali untuk membawa naratif parti dalam PRK yang dijangka sukar mereka menangi.
Mengimbau sejarah penentangan anak Perak terhadap JWW Birch hingga membawa kepada pembunuhan residen pertama British itu pada 1875, Sanusi mengajak pengundi Ayer Kuning mencontohi Si Pitung yang bangkit menentang penjajahan Inggeris ketika itu yang mahu mengaut kekayaan bijih timah dari negeri itu.
“Si Pitung ni budak kepada Datuk Maharaja Lela menentang penjajahan Inggeris. Dan Datuk Maharaja Lela, mufti negeri Perak ketika itu, yang marah kepada penjajah Inggeris mengangkut kekayaan negeri ini bawa balik ke England, mengerahkan Si Pitung untuk bertekad menamatkan riwayat JWW Birch. Di situlah perjuangan anak negeri Perak menyelamatkan negeri ini daripada dijarah dan dijajah.
“Orang Perak bukan ‘koman’. Negeri ini negeri berdaulat, sebuah negeri kaya dan hebat. Orang Perak jangan kasi malu. Ada orang Perak yang cakap bohong, sumpahnya lain buatnya lain, ada di Perak ni. Lebih dari Birch lagi orang macam tu.
“Tuan-tuan kena hantar Si Pitung di Ayer Kuning ni tamatkan saja penipuan ini. Matikan saja parti dia, tamatkan penguasaan penipu, pembohong, pelanggar sumpah ini. Jadilah Si Pitung…Si Pitung sekarang ni tak payah tetak orang dah, ambil sebatang pensel pangkah (PN) di kertas undi,” katanya dalam ucapan bersemangatnya pada malam itu.
Sanusi mungkin merujuk kepada individu berbeza. Menurut Wikipedia, Birch dibunuh oleh Pandak Indut, peneman kepada Dato Maharaja Lela, dengan menikamnya dan selepas itu ditetak sebanyak dua kali di kepala dan tengkuknya oleh Siputum. Sebaliknya, Si Pitung tercatat adalah seorang pejuang bangsa Indonesia yang menentang Belanda pada abad ke-19.
Malah, ucapannya diawali dengan dua rangkap pantun yang berbunyi: “Perak berdaulat bumi berkat; Si Pitung bertekad sejarah dipahat; sumpahnya lain, lain yang Wak pi buat; harapkan dacing roket yang dapat. Cakapnya gagap lidah bercabang; parti keramat hancur dilacur presiden; nyawa ditagih melutut sahabat sendiri dibuang; Ayer Kuning ini lahirlah Si Pitung moden.”
Dengan Umno sudah mengumumkan akan menampilkan calonnya, Sanusi tidak berkias bahawa sasarannya adalah terhadap Presiden Umno Zahid Hamidi dan partinya.
Lagipun bukannya beliau tidak tahu bahawa di atas kertas, peluang PN untuk memenangi PRK berkenaan adalah tipis. Selain Barisan Nasional (BN) telah menguasai kerusi DUN Ayer Kuning sejak 1986, gabungan undi milik BN (9,088) dan Pakatan Harapan (6,875) pada PRU15 jauh mengatasi undi PAS (6,812) sewaktu berlaku perebutan lima penjuru yang dimenangi Ishsam Shahruddin (BN) dengan majoriti 2,213 undi.
Tambahan usikan Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar yang baru-baru ini mencadangkan supaya parti
itu memberi kemenangan percuma kepada BN harus membuat telinganya berdesing.
Kepada Sanusi, terlalu banyak isu melibatkan rakyat Malaysia hari ini yang mendorong kemarahan kepada kerajaan perpaduan hingga memungkinkan ia dinyatakan melalui kertas undi.
“Beras (tempatan) tak ada (sedangkan) orang nak beras RM26 satu kilo. Bulan lepas muncullah fakta dan hakikat rupanya beras tempatan ni duduk dalam kampit beras import. Macam Umno pi duduk dalam DAP. Jadi pengundi Ayer Kuning ada mesej penting untuk dihantar kepada kerajaan,” katanya.
Sanusi turut menimbulkan dakwaan Umno yang semakin lemah terpaksa merelakan DAP lebih berkuasa dalam kerajaan perpaduan hingga portfolio penting dalam Kabinet menjadi milik menteri daripada parti itu.
“DAP yang dimusuhi puluhan tahun sekarang sudah tidur sebantal. Umno bukan main takut kat DAP ni. Portfolio penting kerajaan tempatan yang paling rapat dengan orang ramai menentukan dasar-dasar, diberi kepada DAP. Pengangkutan yang mengawal lalu lintas, lapangan terbang, pelabuhan, pergerakan logistik juga DAP.
“(Presiden) Umno toksah sebutlah kerana langgar sumpah, dia kena tulah. Mata jadi terik, cakap jadi gagap. Nak cakap lain tercakap lain, kemunafikan disebut kemunafakan. Orang suruh dia (cakap) Hidup Palestin, dia (cakap) Hidup Israel. Dia tersilap, tersasul sebab dia langgar sumpah. Orang langgar sumpah ni kena banyak kifarah,” katanya.
Sanusi juga mempertikaikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai asyik mencari kesalahan kerajaan masa lalu hingga menyukarkan kerajaan perpaduan untuk mara ke hadapan.
“Kerajaan hari ni asyik cari salah orang belakang, macam mana nak pergi ke depan. Dia dok ungkit 33 bulan kerajaan (PN) buat apa? Masa tu Covid, mesyuarat hari-hari secara ‘online’ bincang langkah nak selamatnya nyawa rakyat.
“La ni tiada Covid tapi ada ‘Covid’ kepercayaan rakyat kepada kerajaan, depa cakap apa pun orang tak percaya. Tak boleh harap kerajaan ni, kena lantik kerajaan baru,” katanya.
Di sebalik Anwar menjadi sasaran utamanya dalam beberapa PRK terdahulu, kali ini Sanusi bersifat lebih bersimpati kepada perdana menteri.
“Kalau tuan-tuan perhati betui-betui yang bekerja sekarang ni PM seorang ja, tu pun dia tak menang dah. Pi sana pi sini buat tu buat ni semua tak kena pasal kementerian-kementerian lain bisu, lembik, lemau.
“Yang nampak cergas menteri-menteri DAP untuk capai hasrat dan gagasan (Malaysian Malaysia) yang diasaskan tahun 1963 dulu. Dia dok pulun sekarang ni, dia ambik semua kesempatan yang ada. Ada kesilapan sedikit digembar-gembur untuk menimbulkan keburukan satu bangsa lain,” tambahnya.
Dari semboyan pertama yang dibunyikan oleh Sanusi itu, PRK Ayer Kuning mungkin menjadi antara yang paling ‘kotor’ dengan pelbagai serangan dan berbalas serangan sambil PN berharap untuk menterbalikkan kelebihan yang ketika ini bukan di pihak mereka.
Bermula daripada Sanusi, akan banyak lagi Si Pitung atau Siputum yang akan ditampilkan dalam tempoh kempen selepas hari penamaan calon pada 12 April. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.