
Bagi saya yang celik sahaja mata sejak setengah abad lalu, lagu raya yang saya gemari telah siap tersusun rapi senarainya di dalam kepala. Lima dekad saya sudah mendengar lagu raya nyanyian P Ramlee, Saloma, Nona Asiah, Ahmad Jais sehinggalah ke Sanisah Huri dan Rafeah Buang. Tak cukup meriah jika tiada lagu Hail Amir dan Uji Rashid, DJ Dave, Sharifah Aini, Sudirman, Aman Shah dan Black Dog Bone. Memang apabila mendengar lagu-lagu ini automatik kemeriahan dan kesayuan raya terasa. Tambah-tambah lagi kalau berada di perantauan jauh nun di luar negara. Pedih pilu rasanya.
Angkatan 80-an juga tidak mengecewakan. Nyanyian Noor Kumalasari, Rahimah Rahim dan kumpulan Cenderawasih (dua penyanyi wanita adik-beradik berbangsa india yang popular dulu) sangat nostalgia. M Nasir juga berjaya memahat nama dengan cemerlang dalam senarai koleksi lagu raya popular.
Beberapa lagu era 90-an masuk carta seperti Halaman Asmara (Awie dan Ziana Zain), Kupohon Restu Ayah Bonda nyanyian semula Mamat Exist (penyanyi asal ialah kumpulan nasyid Al Jawaher) dan Senandung Hari Raya Untukmu nyanyian Dayangku Intan. Ada lagu yang baik tapi tenggelam dan tak diingati. Bagaimanapun, lagu raya Musafir Di Aidil Fitri nyanyian S Jibeng dan Sepasang Kurung Biru nyanyian Khairil Johari Johar tetap ada penggemarnya tersendiri.
Sementara di celah lagu raya hebat ini terselit juga lagu raya lain yang baik dan sedap didengar seperti lagu dendangan Aishah, Amy Mastura, Hattan dan Amy Search. Siti Nurhaliza tak usah cakaplah! Album penuh berkonsepkan raya beliau memang pukul habis!
Dipendekkan, setelah 25 tahun milenium berjalan dan dengan munculnya bermacam lagu raya saban tahun; saya akhirnya dapat menerima sebuah lagu raya baharu tahun ini berjudul Serumpun, nyanyian Mimi Fly (yang turut menulis lagu dan liriknya bersama Cuurley). Saya yang memang jenis kurang menggemari lirik dan lagu sedih tak memasal, begitu juga tidak suka dengan lagu rancak yang terlalu nak mencuba – boleh menerima Serumpun.
Bagi selera saya, lagu raya Melayu mestilah dekat dengan budayanya meskipun dicabar arus kemodenan. Lagu Serumpun punyai ciri itu. Muziknya rancak dan moden tetapi melodinya pop Melayu yang mempunyai lenggok dan lenggoknya pula sangat sedap. Seni katanya ringkas dan tepat, tidak meleleh dan meleweh. Dalam menggunakan ayat yang ringkas dan lepas seperti ‘duit raya di dalam sampul, adik-beradik sama berkumpul’, Mimi Fly tetap menyelitkan kias dan perlambangan dalam lagu ini seperti pada rangkap ‘Oh bagai serai kita serumpun, bagai sirih tersusun…’ yang mampu mengungkap banyak lapis makna. Mungkin serumpun bererti penyatuan keluarga atau permuafakatan masyarakat atau boleh pergi lebih luas lagi sehingga kepada silaturahim sesama ummah seluruh dunia.
Bagi penulis macam saya, adakala kita akan terkejut dengan ilham kita sendiri yang tanpa disangka-sangka terkeluar rangkai kata keramat. Seperti bait awal lagu Suci Dalam Debu karangan S Amin Shahab, ‘engkau bagai air yang jernih, di dalam bekas yang berdebu’ – ia memang ‘magik’ bila kita hayati seolah-olah kata-kata itu seperti ‘wahyu’ dan lancar meluncur keluar dari mata pena penulisnya. Begitulah rangkap pada Serumpun yang saya katakan tadi. Perlambangan serai dan sirih ini terus membuat imaginasi saya tertawan!
Rangkap lainnya bagi saya biasa sajalah dalam menggambarkan keghairahan membuat persiapan raya dan kemeriahan meraikan hari raya itu sendiri. Elemen yang wajib-ada dalam kebanyakan lagu raya kita ialah tentang juadahnya. Konar sana-konar sini, mesti ada ketupat dan lemang, rendang dan dodol punya! Dan akhirnya sudah pastilah bersalam-salaman memohon maaf zahir dan batin. Konsep bermaaf-maafan pada Hari Raya Aidilfitri memang sudah menjadi amalan kita di nusantara ini. Saya dapat tahu di negara Arab, Aidilfitri diamal sebagai hari perayaan agama dan mereka tiada konsep maaf zahir batin seperti kita yang telah mengahwinkan Aidilfitri sebagai perayaan agama dengan perayaan bangsa.
Berbalik kepada lagu Serumpun, satu yang mengusik kenangan saya di dalam liriknya ialah ‘tangan lenguh perah santan’. Baru-baru ini, sebelum keluarnya lagu Serumpun ini, saya bersembang dengan kakak sulung saya berkenaan kenangan menyambut raya zaman kanak-kanak kami. Memang opah dan mak perah santan dengan tangan untuk membuat lemang dan rendang. Kerja memerah santan dengan tangan ini sudah jarang dibuat sekarang. Teringat dulu saya sampai ralit melihat mak bersama biras perempuannya (ayah saya ada empat beradik lelaki yang lain maka automatik opah ada lima menantu perempuan) bergotong-royong membuat persiapan makanan raya.
Dua atau tiga orang mak cik saya akan duduk mengelilingi sebuah dulang besar berisi kelapa yang telah siap diparut (menggunakan kukur kelapa tradisional), mereka pun melakukan kerja memerah santan. Melihat pati santan yang pekat keluar dari celah jemari mereka itu pun sudah kelihatan sedap lagi menggiurkan. Terasa-rasa lemaknya. Inilah yang dikatakan keenakan ‘air tangan’. Hari ini, tak perlu perah-perah sebab santan segar sudah ada dijual di pasar. Kalau habis, beli santan kotak aja!
Persiapan itu satu hal tetapi pemuafakatan itulah yang mahal kerana ia mengeratkan hubungan silaturahim secara semula jadi. Sambil bekerja mereka berbual-bual hal orang perempuan sama ada tentang suami atau tentang anak-anak. Abah dan saudara lelakinya pula buat kerja menyapu sawang, mencari buluh lemang dan pelepah pisang, menyiapkan pelita dan panjut atau menyusun kayu api untuk membakar lemang. Seronok sungguh!
Kami kanak-kanak, berlari ke sana-ke sini sehingga ke sungai dan bendang. Inilah nikmat kebebasan dan keselamatan yang semakin terhakis hari ini. Hari ini, hendak suruh anak ke kedai pun kita ragu akan keselamatan mereka. Dulu, kalau kita tak keluar rumah asyik memerap saja – mak ayah atau pak long akan marah kita. Disuruhnya kita keluar bermain. Terbalik!
“Pergi komer keluor main! Apa dibuat dalam romah!”
“Bilik ayor penuh. Orang tua nak mandi. Kamu bebudak pergi mandi sungai sana!”
Saya bersama adik dan kakak berserta sepupu-sepapat yang sebaya, berjalanlah ke sungai untuk mandi. Lain! Benar-benar lain suasananya. Itu belum masuk hari raya lagi. Entah kampung manalah kami merayap. Entah rumah siapalah yang kami ziarah sebab semua orang tua sambut dan layan.
“Kamu semua cucu Anjang ke? Haa, masuk komer! Ini bukan rumah orang lain. Sedara juga,” kata mereka. Kami pun masuk. Lewat petang baru kami pulang. Orang tua tak kisah pun. Tak disoal-siasat ke mana kami merayau. Memang hari raya hari kelepasan untuk kami. Dengan duit raya dapatlah kami beli ais krim mahal yang kami idam-idamkan selalu. Manakala abang dan kakak yang sudah meningkat remaja dan bercinta, inilah harinya mereka ke pekan menonton wayang.
Begitulah bagaimana lagu Serumpun ini berjaya membawa saya berkhayal sampai ke zaman silam. Ya, kita harus terima hakikat zaman sudah berubah. Generasi hari ini generasi serba pantas. Mereka sudah tak boleh terima lagu-lagu lama yang sedih dan lambat. Mereka mahu gembira dan cepat. Kita, jika bersikap terbuka – pasti boleh terima.
Bagaimanapun, cepat dan pantas ada kekurangannya juga. Mungkin ia cepat naik tetapi cepat juga turunnya. Seperti tahun lepas lagu ‘Alamak, Raya Lagi!’ meletup, tahun ini tidak lagi sepanas dulu. Ia sekadar ‘duduk’ di tepi-tepi sahaja. Apa-apa pun, saya raikan semuanya dan sentiasa menantikan karya baru yang kreatif. Untuk tahun ini, tahniah diucapkan kepada Mimi Fly kerana lagu Serumpun anda menjadi! - FMT
Artikel ini ialah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.