
Perintah reman sehingga 25 Mac itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin terhadap suspek lelaki berusia lingkungan 60-an selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.
Menurut sumber, suspek dipercayai menerima rasuah kira-kira RM40,000 daripada pemilik-pemilik kenderaan yang ingin mendapatkan nombor giliran bagi proses pemeriksaan kenderaan di sebuah pusat pemeriksaan kenderaan.
“Tangkapan ini berdasarkan operasi dijalankan SPRM dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
“Ia membabitkan siasatan terhadap beberapa individu yang dipercayai terlibat sindiket ejen bagi mempercepatkan proses pemeriksaan kenderaan tanpa mengikuti peraturan yang sah,” kata sumber.
Katanya, maklumat daripada Bahagian Penguatkuasa JPJ mendapati terdapat beberapa individu menyalahgunakan sistem tempahan pemeriksaan Puspakom dengan membuat tempahan secara pukal menggunakan nombor kenderaan secara rawak.
Sumber berkata, individu terbabit seterusnya akan menawarkan tarikh-tarikh tempahan yang telah dibuat kepada pelanggan dengan bayaran ratusan ringgit bagi setiap slot pemeriksaan sebelum membuat penjadualan semula tarikh untuk membolehkan permohonan baru dibuat ke dalam sistem.
“Modus operandi ini menyebabkan pelanggan biasa tidak dapat membuat tempahan slot pemeriksaan dalam masa terdekat berikutan slot itu ditempah sepenuhnya oleh ejen,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya, Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Tambah beliau, beberapa lagi ejen yang menjalankan kegiatan yang sama sedang dikesan dan tidak menolak kemungkinan beberapa siri tangkapan susulan akan dibuat untuk tujuan tersebut. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.