
Meminjam kata-kata kolumnis FMT Hishamuddin Aun, pembangkang membangkitkan pelbagai alasan dan dalil berhubung soal peruntukan kerajaan untuk mereka. Hishamuddin banyak menulis mengenai isu ini. Jelas apa yang beliau nyatakan kesimpulan terbaik apabila melihat langkah dan tindakan (bagi saya gelagat) Perikatan Nasional khususnya sehingga kini.
Bagi saya melengah-lengah dan memanjangkan polemik mengenai isu peruntukan boleh diibarat ‘disengajakan’. Saya melihat PN mahu atau sedang beri mesej mereka adalah ‘mangsa permainan politik pemerintah’ atau ‘mangsa ketidakadilan kerajaan Madani’.
Penonton sasaran PN tentulah rakyat jelata terutama sekali pengundi di kawasan yang mereka menangi pada pilihan raya, yang majoritinya orang Melayu. Dengan memaparkan imej pihak yang tertindas dan dianiayai, jangkaannya ialah mereka akan meraih simpati rakyat yang akan bertindak menyokong mereka. Yang asal menyokong kekal sokong dan yang dahulu tidak sokong akan menyokong. Mungkin itu perkiraannya.
Sememangnya resmi manusia (setidak-tidaknya kebanyakan orang) akan bersimpati serta kasihan lantas menyokong pihak yang ditindas dan dianiayai dan membenci pihak yang menindas dan melakukan penganiayaan. Jika bukan itu tujuannya masakan PN berdolak dalik, dan bak kata Hishamuddin bangkitkan pelbagai alasan dan dalil.
Perhatikan kenyataan 2 Mac lalu oleh Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man. Kata beliau, PAS mencadangkan kerajaan menubuhkan jawatankuasa peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang ‘dimuktamadkan pada Ramadan ini’, dengan cadangan bagi ‘penelitian boleh dikemuka kemudian’.
Bukankah selama ini ruang untuk berbincang dengan kerajaan sudah wujud? Perlukah ditubuhkan jawatankuasa? Andainya ditubuhkan jawatankuasa, yang Tuan Ibrahim mahu, bak kata beliau sendiri, cadangan bagi ‘penelitian boleh dikemuka kemudian.
Itu baru mahu ‘teliti’ (bukan keputusan). Bila agaknya ‘kemudian’ itu?
Kata Tuan Ibrahim lagi, “kerajaan tidak perlu menunggu pembangkang untuk mengusulkan cadangan (kemukakan surat dan nyatakan apa yang dikehendaki terlebih dahulu) kerana perkara itu boleh dikemukakan dalam jawatankuasa (yang ditubuhkan) itu”.
Bukankah saranan Tuan Ibrahim itu melengah dan membuang masa namanya? Bagai buat kerja panjang padahal boleh pendek. Apakah akan jadi jika cadangan yang dikemuka kerajaan ditolak pembangkang? Kemungkinan ini berlaku memang ada. Wal hasil balik asallah gamaknya.
Tampil pula Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan (yang juga setiausaha agung PAS) bercakap pada 13 Mac mengenai rundingan dengan kerajaan. Kata beliau, PN akan menghantar surat bagi mendapatkan ‘perincian lanjut mengenai maksud rundingan’ bagi mendapatkan peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang.
Kata beliau, pucuk pimpinan PN memberikan persetujuan untuk mengutus surat berkenaan kepada kerajaan. Adakah hantar surat sesuatu yang besar dan rumit sehingga memerlukan pimpinan tertinggi PN membuat keputusan? Itu pun hanya surat untuk tahu ‘perincian lanjut’ mengenai ‘maksud rundingan’. Itu sekadar dua contoh. Sebelum ini banyak lagi hal yang ditimbulkan.
If that’s not dilly dally I don’t know what is. Sementara ding dong berulang alik soal rundingan dan sebaginya, PN boleh beritahu penduduk bahawa bukan mereka yang tidak mahu menjalankan rancangan bantu rakyat tetapi mereka dianiayai. Mereka tidak diberi peruntukan. Oh betapa jahatnya kerajaan. Mungkin itu sudah dicanangkan di merata tempat seluruh negara dan akan dicanang lagi apabila berkempen PRK Ayer Kuning tidak lama lagi.
Rakyat akan bersimpati. Bijak dan pandai strategi itu bukan? Wajar tabik kerana matlamat politik ialah untuk menambat hati rakyat, dapat sokongan dan menang pilihan raya.
Tetapi kerajaan nampaknya masih melayan kerenah PN sekali gus menyumbang kepada memanjangkan masalah. Mungkinkah strategi pembangkang sudah dihidu dan kerajaan tidak mahu masuk perangkap, lalu kerajaan pula boleh ketengahkan bukti kepada khalayak bahawa pembangkang yang menyusahkan keadaan. Begitu?
Ada satu ‘senjata’ kerajaan yang boleh menyukarkan pembangkang. Saya petik artikel Hishamuddin di FMT 14 Mac lalu bertajuk ‘Bila PN dah terhantuk nanti’. Beliau memetik PMX berkata sama ada peruntukan disalur melalui Ahli Parlimen atau tidak projek untuk rakyat diteruskan secara menyeluruh tanpa mengira kawasan.
Dalam bahasa mudah, kata Hishamuddin, “kerajaan boleh sahaja memilih untuk terus mengabaikan tuntutan pembangkang terhadap peruntukan Ahli Parlimen kerana rakyat tidak akan terkesan dengannya — mereka tetap akan mendapat nikmat pembangunan yang disalurkan terus.”
Jika ini terjadi nyatalah strategi play victim bagai senjata makan tuan. Yang paling PN tidak ingini berlaku ialah jika pengundi mereka sendiri kata “kalau macam ini tak payah ada YBlah”. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.