
Peguam Ambiga Sreenevasan dan N Surendran berkata, ‘diketahui umum’ bahawa tanah yang menjadi tapak Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman telah dijual oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada Jakel Trading Sdn Bhd.
“Kami dimaklumkan bahawa SPA itu mengandungi peruntukan dan maklumat yang relevan dengan hak dan status kuil di tanah itu,” kata mereka dalam kenyataan.
Mereka berkata, dengan mendedahkan perjanjian itu, fakta penuh mengenai penjualan tanah itu juga boleh diteliti oleh masyarakat umum.
“Kami ada alasan kukuh untuk percaya langkah mendedahkan perjanjian itu boleh membantu mencapai penyelesaian bagi situasi semasa, selain menjamin akauntabiliti dan ketelusan awam berhubung penjualan tanah kerajaan kepada entiti swasta.”
Tanah seluas kira-kira empat gelanggang tenis itu menempatkan kuil itu, yang menduduki satu pertiga bidang tanah, manakala selebihnya menempatkan tempat letak kenderaan.
Pada Khamis, Ketua Bahagian Undang-Undang dan Komunikasi Korporat Jakel Trading Sdn Bhd Aiman Dazuki berkata, pihak syarikat memperoleh tanah itu pada 2012.
Pada 2021, syarikat mendapat kebenaran untuk mula membina sebuah masjid, namun menangguhkan proses itu bagi ‘menghormati’ proses pemindahan kuil.
Aiman berkata, mustahil untuk masjid itu dibina tanpa memindahkan kuil kerana tanahnya tidak cukup luas.
Syarikat itu juga telah bersetuju untuk menanggung kos pemindahan kuil itu, tambahnya.
Pada Sabtu, Ahli Parlimen Batu P Prabakaran menjawab dakwaan bahawa kuil itu dibina oleh penganut Hindu di lokasi semasanya, di sisi Jalan Masjid India, walaupun tanah itu bukan milik mereka.
Beliau menjelaskan, kuil itu dipindahkan ke lokasi itu pada 2008, atas permintaan kerajaan. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.