`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, April 3, 2025

Hanya 54 kastam ‘busuk’

 

pegawai kastam
Kes rasuah dan salah laku dalam kalangan anggota kastam sudah ditangani sewajarnya. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA
Bilangan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) terlibat kes salah guna kuasa dan rasuah sangat kecil iaitu hanya 54 orang atau 0.36% daripada 14,872 jumlah perjawatan pegawainya di seluruh negara pada 2024.

Ketua Pengarah JKDM, Anis Rizana Mohd Zainudin, bagaimanapun berkata kes itu sudah ditangani sewajarnya.

Beliau berkata, penahanan pegawainya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seharusnya dilihat sebagai langkah untuk memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan dan tatakelola JKDM.

“Ini memandangkan agensi penguatkuasaan yang terlibat dalam kutipan hasil sememangnya berisiko terhadap rasuah,” katanya kepada kepada FMT, mengulas langkah JKDM bagi mengelak salah guna kuasa dan rasuah dalam kalangan anggota.

Free Malaysia Today
Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Anis Rizana Mohd Zainudin berkata pemeriksaan mengejut memberinya peluang melihat sendiri masalah dihadapi warga JKDM di lapangan. (Gambar Facebook)

Awal tahun ini media melaporkan, SPRM membongkar sindiket penyeludupan dan pengelakan cukai membabitkan vape dengan ketirisan mencecah hampir RM8 juta.

Ia selepas SPRM menahan dua lori mencurigakan ketika keluar dari Pusat Pemeriksaan Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Susulan itu, enam pegawai JKDM dan lapan orang awam termasuk enam pengarah syarikat ditahan dalam operasi KLIA dan ibu negara.

Anis berkata, pihaknya mengambil beberapa langkah bagi meningkatkan budaya kerja berintegriti dan berprestasi antaranya pemeriksaan mengejut selain lawatan kerja di pejabat JKDM seluruh negara.

“Pemeriksaan mengejut memberi peluang kepada saya melihat sendiri masalah dihadapi warga JKDM di lapangan, memperbetulkan budaya kerja tidak sihat serta membuat penambahbaikan sewajarnya dari aspek pengoperasian dan kebajikan,” katanya.

Beliau berkata, pegawai JKDM yang terlibat dalam siasatan SPRM juga ditukarkan ke lokasi penempatan berisiko rendah.

Menurutnya, pada 2024 JKDM membuat pusingan kerja bagi 840 pegawai melibatkan 397 pegawai bagi kumpulan pengurusan dan profesional.

“Ini terdiri 282 pegawai di jawatan sensitif dan 115 pegawai di jawatan bukan sensitif. Manakala 443 pegawai daripada kumpulan pelaksana dibuat pusingan kerja melibatkan 409 di jawatan sensitif dan 34 di jawatan bukan sensitif,” katanya.

Sementara itu, Anis berkata JKDM turut menggunakan bantuan teknologi untuk mengoptimumkan pengoperasian dan mencegah perbuatan tidak berintegriti.

Katanya, dari semasa ke semasa pihaknya meningkatkan penggunaan peralatan sokongan berteknologi tinggi seperti kamera badan, mesin pengimbas ‘dual view dual energy system’ dan dron.

“JKDM juga memperkenalkan beberapa sistem bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan proses kerja seperti sistem dokumen sokongan import/eksport (SDSIE) yang boleh mengurangkan ‘human intervention’ sekali gus menutup ruang dan peluang berlaku rasuah,” katanya memaklumkan semua langkah itu menghasilkan impak positif kepada JKDM. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.