`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, April 4, 2025

Mesyuarat khas menteri ekonomi Asean bincang implikasi tarif AS

 

ASEAN flag bendera
Mesyuarat khas menteri ekonomi Asean pada 10 April ini bincangkan implikasi lebih meluas tarif Amerika Syarikat ke atas aliran perdagangan dan pelaburan serantau dan kestabilan makroekonomi. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR
Atas kapasiti Malaysia sebagai pengerusi Asean 2025, di bawah tonggak komuniti ekonomi Asean (AEC), Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz akan mempengerusikan mesyuarat khas menteri ekonomi Asean pada 10 April.

“Mesyuarat tersebut dijangka membincangkan implikasi lebih meluas akibat daripada langkah-langkah tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas aliran perdagangan dan pelaburan serantau dan kestabilan makroekonomi.

“Serta tindak balas diselaras Asean untuk menegakkan kepentingan ekonomi rantau ini dan komitmen yang telah lama wujud terhadap sistem perdagangan yang terbuka, adil dan berasaskan peraturan,” kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) menerusi satu kenyataan.

Selepas itu, pemimpin Asean akan bermesyuarat untuk membincangkan hala tuju negara anggota Asean serta menangani dan mengurangkan potensi gangguan terhadap perdagangan serantau, rangkaian rantaian bekalan dan pelaburan rentas sempadan.

Ini bagi memastikan Asean terus menjadi hab yang stabil, berdaya saing dan menarik untuk perdagangan dan pelaburan global, kata Miti.

Negara anggota wilayah Indo-Cina Asean paling teruk terjejas oleh tarif tersebut, dengan Kemboja dikenakan tarif asas dan timbal balik berjumlah 49%, diikuti Laos (48%), (Vietnam 46%), dan Myanmar (44%).

Manakala, Thailand dikenakan tarif 36%, Indonesia 32%, Brunei dan Malaysia kedua-duanya pada 24%, Filipina 17% dan Singapura pada tarif asas 10%.

Menurut dokumen dari Rumah Putih bertarikh 2 April, tarif 10% ke atas semua negara akan berkuat kuasa pada 5 April 2025, manakala tarif timbal balik individu yang lebih tinggi ke atas negara yang AS mempunyai defisit perdagangan terbesar akan berkuat kuasa pada 9 April ini.

Semua negara lain akan terus tertakluk kepada asas dasar tarif 10% asal, kata dokumen itu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.