Anwar Ibrahim berkata, dana itu untuk pastikan kelangsungan sambutan kebudayaan dan program kemasyarakatan dapat dijalankan lebih efisien.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, dana tersebut bertujuan memastikan kelangsungan sambutan kebudayaan dan program kemasyarakatan komuniti itu dapat dijalankan dengan lebih efisien.
Menurutnya, peruntukan yang disalurkan untuk menunjukkan penghargaan kerajaan itu akan diselaraskan oleh Menteri Digital Gobind Singh Deo.
“Saya luluskan peruntukan awal setengah juta ringgit bagi menyokong acara-acara ini,” katanya ketika berucap pada Festival Vaisakhi 2026 di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), yang turut dihadiri Gobind dan beberapa pemimpin komuniti Sikh.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, keunikan budaya dan tradisi pelbagai kaum sebagai tunjang kekuatan negara perlu dipertahankan.
Menurutnya, semangat kebersamaan dan keadilan yang diamalkan oleh komuniti Sikh telah lama memainkan peranan penting dalam fabrik sosial Malaysia.
“Kekuatan kita terletak pada kepelbagaian. Budaya dan tradisi kita bukan sekadar identiti, malah merupakan asas kepada perpaduan kita,” katanya.
“Apabila kita meraikan Vaisakhi, kita bukan sekadar menghormati tradisi, tetapi yang lebih penting adalah memupuk kesedaran tentang semangat perkhidmatan dan kebersamaan.”
Dalam ucapan yang sama, Anwar turut menzahirkan penghargaan peribadinya terhadap komuniti Sikh yang sentiasa memberi sokongan sepanjang kerjaya politiknya, termasuk ketika beliau melalui fasa sukar.
Beliau secara berseloroh turut menyentuh hubungan akrabnya dengan keluarga Karpal Singh, khususnya Gobind.
“Kadangkala apabila beliau bercakap dalam Kabinet, saya tidak pasti sama ada beliau bercakap sebagai peguam saya atau anggota Jemaah Menteri,” katanya.
“Tetapi itulah keindahan hubungan kita. Walaupun berbeza budaya dan agama, kita berkongsi aspirasi dan kasih sayang yang sama sebagai rakyat Malaysia.” - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.