`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

31 AUGUST 2026

Sunday, September 6, 2026

Bolehkah PAS majukan Malaysia?

 Rakyat perlu tahu apakah sebenarnya visi dan misi PAS untuk Malaysia.

rosli khan

Saya mengikuti muktamar PAS yang sedang berlangsung di Pengkalan Chepa, Kelantan dari jauh. Ramai yang hadir dan ramai juga wakil yang berpidato dan dari situ, banyak persoalan yang timbul di benak saya.

Saya tidak banyak mendengar ucapan khusus tentang masalah negeri atau negara, apalagi tentang hal-hal yang berkait dengan ekonomi rakyat atau ekonomi negara.

Ataupun tentang hutang negara yang begitu tinggi, masalah kewangan defisit, perbelanjaan kerajaan berlebihan, Belanjawan 2027, pembahagian hasil dan pendapatan, serta bagaimana semua ini akan diuruskan sekiranya PAS mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Persoalan saya di sini, bukan sekadar sama ada PAS mampu memenangi pilihan raya akan datang dan membentuk kerajaan. Mereka yang hadir nampaknya percaya dan agak yakin. Sebagai contoh, ‘Time for PAS to lead with its own PM candidate, says youth leader’, satu impian besar yang perlu sedikit kajian dan penjelasan.

Persoalan yang lebih besar ialah: adakah PAS benar-benar mempunyai keupayaan, kepakaran dan kerangka dasar yang jelas untuk mentadbir sebuah negara majmuk?

Berapa ramai pakar ekonomi, tokoh fiskal atau kewangan, perdagangan, pendidikan, industri, pengangkutan dan pembangunan dalam PAS? Apakah mereka sekadar bergantung harap kepada rakan politiknya semata-mata?

Siapa dalam kalangan mereka yang berkaliber untuk membentuk dasar baharu? Siapakah antara yang hadir, mampu melakukan perubahan pengurusan negara supaya Malaysia bukan sekadar ditadbir, tetapi benar-benar dimajukan ke tahap yang lebih baik dan lebih tinggi?

Memerintah Malaysia bukan hanya sekadar menjadi perdana menteri, menteri atau timbalan menteri.

Ia memerlukan satu pasukan yang mempunyai kepakaran, pengalaman dan keberanian untuk membuat keputusan yang sukar, khususnya apabila berhadapan dengan masalah fiskal, hutang negara, subsidi, pelaburan, perdagangan, pendidikan, hubungan antarabangsa dan hubungan antara kerajaan persekutuan dengan Sabah dan Sarawak.

Rakyat perlu tahu apakah sebenarnya visi dan misi PAS untuk Malaysia.

Dasar fiskal

Pada pandangan saya, antara perkara paling penting yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan mana-mana kerajaan baharu ialah dasar fiskal mereka.

Dasar fiskal ini menentukan bagaimana kerajaan memperolehi hasil, siapa yang membayar cukai, bagaimana wang dibelanjakan, siapa yang menerima bantuan dan bagaimana defisit serta hutang negara dikawal, menjadi seimbang atau ada lebihan (surplus). Di sinilah PAS perlu memberikan perhatian utama dengan pandangan yang pandai, padat dan serius.

Cadangan “Please change the movie on tax” oleh Geoffrey Williams, misalnya, merupakan satu cadangan dasar fiskal yang menarik dan wajar diberi perhatian. Tiada seorang pun yang hadir dinmuktamar PAS menyentuh tentang hal yang penting seperti ini.

Cadangan menggunakan electronic payment tax (EPT) sebagai mekanisme percukaian baharu, jika dilaksanakan dengan reka bentuk yang betul, berpotensi mengubah cara kerajaan mengutip hasil.

Sekiranya PAS benar-benar mahu memimpin Putrajaya, saya berpendapat mereka perlu mendengar pandangan pakar seperti beliau dan pakar-pakar dari kaum lain yang mempunyai kepakaran dalam percukaian dan kewangan awam. Persoalannya ialah: apakah model percukaian alternatif yang PAS mahu dan akan diperkenalkan?

Adakah PAS akan terus bergantung kepada sistem cukai sedia ada (SST dan GST) atau mempunyai keberanian untuk memperkenalkan pendekatan baharu yang lebih luas asasnya, lebih cekap kutipannya dan lebih adil kepada rakyat?

Jika EPT mampu direka dengan baik sehingga kutipan hasil kerajaan menjadi lebih cekap tanpa terlalu membebankan golongan berpendapatan rendah, ia boleh menjadi sebahagian daripada reset fiskal negara. Tetapi ini memerlukan kajian, kepakaran dan perancangan yang sangat teliti.

Kerajaan tetap memerlukan hasil yang mencukupi untuk membiayai kos pengurusan, belanjawan untuk pendidikan, kesihatan, keselamatan, pengangkutan awam, infrastruktur dan pembangunan negara. Justeru, PAS perlu menjelaskan bukan sahaja berapa banyak cukai yang mahu dikutip, tetapi daripada siapa, dengan cara bagaimana dan untuk membiayai apa.

Defisit, hutang dan ketirisan

Terkait dengan dasar fiskal ialah belanjawan defisit Malaysia setiap tahun yang telah melangkau lebih dua puluh lapan tahun, sejak 1998. Belanjawan defisit ini membuatkan hutang kerajaan terus meningkat, yang kini sudah melebihi RM1.38 trilion atau sejumlah 64% daripada kadar Keluaran Dalam Negara Kasar. Dalam keadaan sebegini, setiap ringgit wang negara dan wang rakyat sepatutnya diurus dengan penuh amanah, telus dan berdisiplin. Ini yang harus disahut oleh PAS.

Masalahnya bukan sekadar kerajaan berbelanja terlalu banyak. Persoalan yang lebih besar ialah ke mana wang itu dibelanjakan, berapa banyak yang benar-benar sampai kepada rakyat dan berapa banyak yang hilang akibat ketirisan, pembaziran, penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa.

Sebab itu, jika PAS benar-benar serius untuk mengambil alih Putrajaya, rakyat berhak menuntut satu kenyataan dan pendirian yang jelas, tegas dan tidak berkompromi mengenai rasuah dan salah guna kuasa, khususnya apabila ia melibatkan wang negara dan wang simpanan rakyat.

Tanpa kenyataan yang kukuh dan meyakinkan mengenai perkara ini, pendirian PAS boleh ditafsirkan sebagai tidak serius, lemah dan akhirnya memudaratkan negara. Apalagi di muktamar kali ini, PAS mengundang parti-parti politik yang terjebak dengan gejala rasuah dan salahguna kuasa tersebut.

Ini bukan lagi soal politik kepartian atau rakan kongsi politik. Ini soal wang negara dan wang rakyat, yang memerlukan kerangka polisi yang wajar dan kuat.

Apabila negara mempunyai hutang yang begitu besar dan terus berbelanja dalam keadaan belanjawan defisit, kerajaan tidak boleh pada masa yang sama membiarkan ruang untuk ketirisan, pembaziran dan penyelewengan terus terbuka dan berlaku.

Setiap ketirisan akhirnya perlu dibayar oleh rakyat — sama ada melalui cukai yang lebih tinggi, pengurangan subsidi, pengurangan perkhidmatan awam, pinjaman baharu atau hutang yang akan ditanggung oleh generasi akan datang.

Oleh itu, PAS perlu menjelaskan dengan terang empat tunggak utama:

• Apakah langkah konkrit yang akan diambil untuk membanteras rasuah?
• Apakah mekanisme yang akan digunapakai untuk menutup ruang ketirisan?
• Apakah dasar baru yang akan diperkenalkan terhadap sistem perolehan kerajaan?
• Apakah tindakan yang akan diambil terhadap mereka yang menyalahgunakan kuasa, termasuk jika mereka datang daripada parti atau gabungan politik sendiri?

Empat persoalan dan jawapan dari pihak PAS ini sangat penting. Rakyat tidak mahu mendengar janji membanteras rasuah hanya ketika PAS menjadi pembangkang. Rakyat mahu melihat apakah prinsip yang sama akan digunakan apabila PAS menjadi kerajaan dan berhadapan dengan pesalah dari orang dalam kalangan mereka sendiri atau rakan politik mereka. Yang salah, tetap salah, sama ada kawan atau lawan.

Berhubung gejala rasuah, kenyataan presiden PAS dimuktamar semalam tidak memberansangkan. Sila lihat ‘Corruption in Malaysia weaponised to discredit rivals, claims Hadi’. Apakah kerajaan PAS kelak tidak akan menutup segala kebocoran dan ketirisan dalam sistem kewangan negara?

Jika kebocoran tidak ditutup, berapa banyak pun hasil yang dikutip, negara akan terus menghadapi masalah yang sama, tidak kira pesalahnya menganut agama apa sekalipun.

Ia bukan lagi isu moral semata-mata. Ia adalah isu ekonomi, isu kekuatan kewangan negara dan ianya juga, adalah isu masa depan generasi muda Malaysia. Sebab itu, isu gejala rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa amat penting untuk dijadikan landasan sebenar polisi parti dan ia merangkumi sebahagian daripada dasar fiskal dan kewangan negara.

Jadi sebelum PAS meminta rakyat memberikan mandat untuk memimpin Putrajaya, mereka perlu terlebih dahulu menjawab satu soalan yang mudah tetapi sangat besar maknanya: - FMT

Apakah sebenarnya rancangan fiskal PAS untuk Malaysia?

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.