China kekal jadi rakan dagang utama pertanian dengan MoU RM3.27 bilion, kata Mohamad Sabu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata, pencapaian itu selari dengan sambutan luar biasa orang ramai terhadap Maha, dengan jumlah pengunjung setakat hari ketujuh mencecah 2.77 juta orang manakala nilai jualan melonjak kepada RM16.3 juta.
“Kita sasarkan RM8 bilion tetapi sehingga hari ini kita telah capai RM9.3 bilion. Pengunjung hingga hari ketujuh berjumlah 2.77 juta dan bilangan kenderaan lebih 555,000,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Pemenang Program Realiti Agro Quest di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) hari ini.
Beliau berkata, China kekal menjadi rakan dagang utama pertanian menerusi pembaharuan kerjasama sedia ada dan peningkatan import barangan agromakanan dengan MoU bernilai RM3.27 bilion.
Katanya, pemeteraian MoU berkenaan adalah komitmen berterusan yang akan disusuli perjanjian perniagaan konkrit bagi memacu eksport sektor berkenaan, termasuk buah nanas dan aplikasi teknologi tinggi.
Antara kerjasama utama ialah MoU antara Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Guizhou Phosphate Chemical (GPC) Group dan Jiangsu Chemical Design Institute Co Ltd (CDIJS) bernilai RM1.5 bilion.
Dalam pada itu, Mohamad turut kagum melihat penglibatan generasi muda yang menjadikan bidang pertanian sebagai kerjaya pilihan menerusi aplikasi teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI) dan Internet Pelbagai Benda (IoT).
“Anak-anak muda ini begitu bersemangat, berjaya dalam pertanian dan menggunakan teknologi baharu yang mengagumkan selain menjadikan kerjaya dalam bidang pertanian secara sepenuh masa,” katanya.
Beliau turut menyeru penduduk di sekitar Lembah Klang untuk mengambil kesempatan melawat Maha yang berakhir Ahad ini, sekali gus mengambil kesempatan mendapatkan benih tanaman dan mempelajari teknologi terkini pemakanan tempatan. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.