Ia bagi membolehkan generasi muda menghayati, menghargai dan menghormati kekayaan budaya di Sabah.

Beliau berkata perkara itu merupakan antara persetujuan yang dicapai menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) berkaitan pendidikan.
Fadhlina berkata Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, James Ratib, memberikan sokongan penuh bagi merealisasikan hasrat tersebut.
“Antara dibincangkan ialah bagaimana kita boleh terus mendukung pendidikan di Sabah berdasarkan kepada inti pati persetujuan dan terma-terma dalam MA63.
“Elemen citra Sabah ini akan dimulakan pelaksanaannya dalam kurikulum baharu Darjah Satu dan Tingkatan 1 mulai tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan projek Sekolah Menengah Sains Sabah dan Sekolah Kebangsaan Buit Hill.
Fadhlina berkata penerapan elemen citra Sabah dalam kurikulum sekolah penting bagi memperkukuh semangat persahabatan serta hubungan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung sebagai asas kekuatan Malaysia.
Beliau berkata usaha itu penting bagi membolehkan generasi muda menghayati, menghargai dan menghormati kekayaan budaya di Sabah, selain memastikan elemen berkenaan dapat dikongsi bersama melalui kurikulum sekolah.
Sementara itu, Fadhlina memaklumkan urusan berkaitan pengisian guru baharu serta pelantikan pengetua dan guru besar di negeri itu kini berada pada peringkat akhir untuk dimuktamadkan.
Mengulas mengenai isu sekolah daif di Sabah, beliau berkata kemajuan pelaksanaan projek berkenaan berada pada tahap baik dengan sebahagiannya telah siap dibina, manakala selebihnya masih dalam fasa pembinaan serta pra-pelaksanaan.
Fadhlina berkata pemantauan rapi secara berterusan terus dilaksanakan bersama pihak berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah bagi memastikan projek naik taraf sekolah daif di negeri itu berjalan lancar.
Terdahulu, dalam ucapannya Fadhlina berkata sebanyak 245 sekolah daif di Sabah siap dibangunkan semula sepenuhnya, manakala 63 lagi sedang dalam pembinaan dan baki selebihnya berada dalam pelbagai fasa pelaksanaan.
Jumlah itu merupakan sebahagian daripada 416 sekolah daif di Sabah dikenal pasti untuk penggantian penuh, katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.