Suspek berusia 31 tahun dikesan dalam video tular melakukan kekasaran di taska.

Ketua Polis Kuantan Ashari Abu Samah, berkata pihaknya menerima laporan berhubung video tular di media sosial, yang memaparkan kejadian itu kira-kira 10.34 pagi tadi.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada 11 Ogos dengan rakaman video tersebut memaparkan mangsa dimarahi, ditarik rambut, dan digoncang kepalanya oleh seorang wanita yang juga kakitangan taska berkenaan.
“Susulan laporan yang diterima, pihak polis telah menjalankan siasatan lanjut dan menahan seorang wanita berusia 31 tahun bagi membantu siasatan. Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok,” katanya menurut Bernama.
Ashari berkata, mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, untuk pemeriksaan lanjut dan setakat ini tiada kecederaan fizikal serius dilaporkan.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan tidak menyebarkan video atau maklumat yang boleh mendedahkan identiti mangsa, memandangkan kes ini melibatkan kanak-kanak,” katanya.
Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kuantan di talian 09-5652222 atau hadir ke balai polis berhampiran. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.