`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 


 




Wednesday, November 11, 2026

Malaysia terima sokongan banyak negara untuk kekal dalam Majlis ITU

 Fahmi Fadzil berkata, sokongan itu dizahirkan menerusi beberapa siri pertemuan dua hala, resepsi makan tengah hari bersama delegasi negara anggota.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil ketika sidang media selepas Jamuan Tengah Hari yang dianjurkan Malaysia sempena ITU PP-26 di Pusat Pameran dan Konvensyen Doha (DECC) hari ini. (Gambar Bernama)
DOHA:
Malaysia menerima maklum balas positif dan sokongan daripada banyak negara dalam usaha mempertahankan kerusi Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) menjelang pemilihan yang dijadual berlangsung pada 16 Nov ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, sokongan itu dizahirkan menerusi beberapa siri pertemuan dua hala dan resepsi makan tengah hari yang diadakan bersama dengan delegasi negara anggota sempena Persidangan Perwakilan Penuh ITU 2026 (PP-26) di sini.

Perkembangan itu, katanya, ialah petanda positif terhadap usaha Malaysia untuk terus memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju pembangunan sektor telekomunikasi pada peringkat antarabangsa.

“Alhamdulillah, kita telah selesai beberapa perkara persiapan untuk menghadapi proses pemilihan semula bagi kerusi Ahli Majlis ITU,” katanya selepas menghadiri resepsi makan tengah hari bersama dengan delegasi antarabangsa bersempena dengan ITU PP-26 hari ini.

“Banyak perbincangan sama ada sewaktu resepsi tersebut ataupun dalam siri mesyuarat dua hala menunjukkan bahawa banyak negara memberikan sokongan kepada Malaysia untuk dipilih semula ke Majlis ITU.”

Mengakhiri lawatan kerja enam hari ke Doha, Fahmi berkata, pemilihan semula Malaysia akan membuka lebih banyak peluang kepada Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta agensi berkaitan untuk memperkukuh penglibatan negara dalam pembangunan dasar dan teknologi telekomunikasi global.

Katanya, Malaysia mempunyai pelbagai pengalaman dan kepakaran yang boleh dikongsi dengan negara lain khususnya dalam pembangunan infrastruktur digital, keselamatan data dan pelaksanaan teknologi komunikasi generasi baharu.

Fahmi berkata, antara inisiatif yang menarik perhatian negara lain ialah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) dan pengalaman Malaysia melaksanakan peralihan rangkaian 5G daripada model rangkaian borong tunggal kepada model dwirangkaian.

“Pengalaman Malaysia mengemudi isu-isu ini sudah pasti boleh menjadi contoh ataupun ada beberapa pengajaran yang boleh diambil oleh negara-negara lain,” katanya.

“Jadi, kita bersedia untuk berbincang dan saya juga minta supaya siri perbincangan ini diperluas, diperhebat dan insyaAllah, dengan Malaysia kekal berada dalam Majlis ITU, kita boleh memainkan peranan yang lebih besar selepas ini.”

Sementara itu, Fahmi berkata, Malaysia berpotensi memainkan peranan lebih besar dalam menyuarakan kepentingan negara membangun khususnya bagi menangani jurang digital yang semakin melebar akibat perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata, selain cabaran ketersambungan asas seperti kabel dasar laut, menara telekomunikasi dan komunikasi satelit, dunia kini berdepan cabaran baharu dikenali sebagai jurang keupayaan pengkomputeran.

Fahmi berkata, jurang itu berlaku apabila sesetengah negara mempunyai keupayaan AI dan pengkomputeran yang jauh lebih maju berbanding negara lain sekali gus berisiko meningkatkan ketidaksamaan digital global.

Malaysia, katanya, turut memberi perhatian kepada keperluan mempercepat migrasi teknologi kuantum khususnya bagi memperkukuh keselamatan data dalam persekitaran digital yang semakin kompleks.

Beliau berkata, pembangunan infrastruktur digital yang menyeluruh dan keupayaan melindungi data perlu bergerak seiring bagi memastikan pertumbuhan ekonomi digital dapat dinikmati secara lebih inklusif. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.