Alexander Nanta Linggi berkata faktor pihak ketiga perlu diambil kira seperti ambilan tanah, pampasan, selain kemudahan utiliti tidak dialih.

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi, berkata pihaknya perlu meneliti setiap permohonan lanjutan masa dikemukakan kontraktor bagi mengenal pasti punca kelewatan, termasuk kekangan melibatkan agensi kerajaan atau faktor lain.
Beliau berkata, setakat ini hanya satu kontrak ditamatkan berikutan kelewatan projek berkenaan selepas penilaian menyeluruh dilakukan.
“Apabila mereka menuntut lanjutan masa, kita kena teliti dengan baik sama ada masalah itu kesalahan mereka…ini kerana ada faktor daripada pihak kita juga.
“Misalnya, kontraktor mahu buat kerja tetapi tidak boleh masuk ke tapak kerana kerja pengambilan balik tanah dan pampasan belum diselesaikan jabatan kerajaan berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri rakaman program terbitan Bernama TV.
Nanta berkata, selain isu pengambilan tanah dan bayaran pampasan, pelaksanaan kerja di tapak turut berdepan kekangan sekiranya kemudahan utiliti seperti saluran paip air serta kabel bawah tanah belum dialihkan pihak berkaitan kerana keadaan itu boleh menyebabkan kerosakan.
Beliau berkata, kementerian mengambil langkah proaktif menubuhkan jawatankuasa pemantauan, jawatankuasa pemandu, dan pasukan petugas bagi mengelakkan pembaziran masa.
“Menerusi platform ini, masalah di tapak boleh terus dibawa dan diputuskan jalan penyelesaiannya tanpa perlu menunggu-nunggu yang mengakibatkan masa menjadi sia-sia sekiranya tidak dikoordinasikan dengan baik.”
Nanta berkata, pemantauan projek turut diperkukuh menerusi lawatan berkala pengurusan tertinggi kementerian ke tapak bina selain kerjasama erat dengan Jabatan Kerja Raya Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, kemajuan pelaksanaan pakej kerja Lebuhraya Pan Borneo di Sabah setakat ini hanya mencapai 11.4%, manakala projek di Sarawak pula hampir siap sepenuhnya. - FMT



No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.