Kerajaan Selangor memperuntukkan RM559 juta pada 2027 dalam usaha menjamin bekalan air yang lebih stabil.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata terdapat lebih 6,000km paip usang yang perlu diganti, dan kerajaan negeri meningkatkan peruntukan tahunan bagi mempercepatkan usaha itu bermula 2024.
“Program penggantian paip telah mula dilaksanakan sejak 2016 dengan sasaran tahunan sepanjang 150km. Namun, bagi mempercepatkan pelaksanaan program itu bermula 2024 kerajaan negeri dan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) meningkatkan kadar penggantian paip usang kepada 300km setahun,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027.
Sepanjang 1,231.01km paip usang selesai digantikan sehingga Ogos lepas, katanya.
Dalam pada itu, Amirudin berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM120.8 juta bagi Program Penurunan Kadar Air Tidak Terhasil (NRW) yang merangkumi antaranya pemasangan Pressure Transient, Permanent Leak Noise Correlating Loggers (PLNCL) dan Advance Pressure Management Systems (APMS).
“Kadar NRW disasarkan turun kepada 26.3% tahun ini dan 25.8% pada 2027, berbanding 26.8% pada 2025. Penurunan 0.5 mata peratus setahun ini selari dengan sasaran yang dikemukakan Air Selangor kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN),” katanya.
RM101 juta turut diperuntukkan untuk menjamin bekalan air bersih termasuk menerusi Skim Jaminan Air Mentah, yang bertujuan melindungi operasi loji daripada gangguan akibat pencemaran.
Untuk perancangan jangka panjang, RM3.5 juta diperuntukkan untuk kajian Pelan Induk Air Negeri Selangor yang akan menyelaraskan pengurusan air mentah, air terawat dan air kumbahan dengan pengurusan banjir dijangka siap pada 2028. - FMT



No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.