`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 


 




Thursday, November 12, 2026

MCTC gesa jualan vape dihentikan berperingkat

 Majlis Kawalan Tembakau Malaysia berkata kerajaan juga perlu sediakan rawatan berkesan kepada pengguna yang sudah bergantung kepada produk itu.

vape
Majlis Kawalan Tembakau Malaysia berkata usaha menghentikan jualan vape perlu disertai perkhidmatan berhenti merokok dan ketagihan yang mampu dibiayai, termasuk kaunseling, ubat-ubatan yang diluluskan serta khidmat rujukan.
PETALING JAYA:
Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) menggesa kerajaan mengekalkan kawalan terhadap nikotin dalam cecair dan gel vape di bawah Akta Racun 1952 dan menetapkan pelan berperingkat untuk menghentikan penjualan produk itu secara komersial.

MCTC dalam kenyataan berkata pendirian itu penting bagi memastikan perlindungan kesihatan awam terus terpelihara, khususnya kanak-kanak, selain menyediakan rawatan berkesan kepada pengguna yang sudah bergantung kepada nikotin.

Katanya, MCTC menyambut baik penjelasan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad bahawa nikotin dalam sediaan cecair dan gel yang digunakan dalam rokok elektronik serta vape kembali tertakluk kepada Akta Racun susulan keputusan Mahkamah Tinggi dan penarikan rayuan kerajaan.

Badan itu turut menggesa kerajaan menetapkan dasar yang seragam di peringkat kerajaan, termasuk jadual pelaksanaan dan tanggungjawab agensi berkaitan, bagi memastikan aturan sementara tidak menjadi ruang untuk penjualan vape diteruskan tanpa had.

“Usaha menghentikan jualan vape nikotin perlu disertai perkhidmatan berhenti merokok dan ketagihan nikotin yang mampu dibiayai, termasuk kaunseling, ubat-ubatan yang diluluskan serta khidmat rujukan.

“Malaysia memerlukan laluan berperingkat untuk menamatkan penjualan vape bernikotin secara komersial, bukannya satu lagi pengecualian tanpa tempoh. Kesihatan awam mesti menentukan matlamat dan pendekatan untuk mencapainya,” katanya.

MCTC berkata pelaksanaan Akta Racun perlu diselaraskan dengan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), sambil menegaskan kewujudan undang-undang baharu itu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengeluarkan nikotin daripada kawalan Akta Racun.

Katanya, Kementerian Kesihatan sebelum ini menjelaskan beberapa cabaran berkaitan implikasi undang-undang keputusan mahkamah, stok komersial sedia ada, urusan perdagangan dan penguatkuasaan, yang memerlukan penyelarasan antara agensi kerajaan.

“Bagaimanapun, isu berkenaan tidak mengubah matlamat kesihatan awam atau membuktikan pengecualian sementara daripada Akta Racun sebagai satu keperluan yang tidak dapat dielakkan.

“Pengecualian sementara hanya boleh dipertimbangkan jika kerajaan membuktikan langkah berkenaan benar-benar diperlukan, dengan skop terhad, tempoh pelaksanaan jelas, mekanisme penamatan sah serta kawalan bagi menghalang perkembangan pasaran vape,” katanya.

Mei lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan perintah menteri mengecualikan nikotin cecair dan gel daripada senarai racun. Mahkamah memutuskan perintah itu menyalahi undang-undang kerana dibuat tanpa rundingan sewajarnya dengan Lembaga Racun.

Kerajaan kemudian menarik balik keseluruhan rayuannya di Mahkamah Rayuan pada 18 Ogos. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.