PUTRAJAYA: Kutipan sisa kitar semula meningkat kepada 2,188.95 tan dari Januari hingga September tahun ini berbanding 1,546.81 tan dalam tempoh sama tahun lepas, dengan peningkatan ketara direkodkan sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, kutipan tertinggi dicatatkan pada April dan Mei, iaitu masing-masing 287.7 tan serta 307.63 tan berbanding 157.31 tan dan 163.15 tan pada 2019.
“Sasaran (kitar semula) tahun ini tercapai melebihi 30%, antara 31 hingga 32%. Jadi sasaran 40% mudah untuk dicapai dalam 2021,” katanya semasa melawat Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS) di sini semalam.
Beliau berkata, kewujudan FIKS, yang merupakan inisiatif anak syarikat Alam Flora Sdn Bhd, iaitu Alam Flora Environmental Solutions, sebagai pusat pengumpulan dan pemprosesan barangan kitar semula yang boleh dikunjungi orang awam akan mampu membantu mencapai sasaran itu.
Katanya, inisiatif itu yang menyediakan pelbagai kemudahan, termasuk hab ilmu, Butik 3R, pusat belian balik barangan kitar semula, pengumpulan minyak masak terpakai dan pembuatan kompos daripada sisa makanan akan membudayakan amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat.
“Kita perlukan satu pusat sebegini supaya rakyat dapat kunjungi dan memahami konsep kitar semula. Ini boleh menjadi pusat untuk anak-anak sekolah melihat sendiri bagaimana sampah diproses dan menghasilkan pendapatan.” - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.