`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, November 3, 2020

Malaysia sambut baik Saudi benarkan jemaah asing tunai umrah

 

Arab Saudi membenarkan jemaah dari negara lain menunaikan umrah mulai 1 Nov ini, susulan peningkatan kapasiti umrah kepada 20,000 orang setiap hari. (Gambar AP)

PETALING JAYA: Malaysia menyambut baik keputusan Arab Saudi membenarkan jemaah asing menunaikan umrah selama 10 hari dengan mematuhi SOP ditetapkan.

Menteri Luar, Hishammuddin Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kenyataan bersama hari ini berkata, Malaysia akan bekerjasama dengan Riyadh untuk memastikan umat Islam negara ini dapat mengerjakan umrah di Tanah Suci.

“Kerajaan akan terus memantau situasi Covid-19, khususnya di Malaysia dan pada masa yang sama meneliti dari semasa ke semasa SOP ibadah umrah yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

“Kerajaan akan melakukan yang terbaik demi kepentingan rakyat Malaysia, khususnya jemaah umrah yang bakal ke Tanah Suci kelak.”

Mereka berkata, Kementerian Luar dan JPM (Hal Ehwal Agama) akan mendapatkan nasihat Majlis Keselamatan Negara serta Kementerian Kesihatan kerana keselamatan dan kesihatan rakyat ialah keutamaan tertinggi.

“Marilah kita sama-sama doakan semoga segala usaha demi memastikan umat Islam di Malaysia dapat kembali ke Tanah Suci dipermudahkan Allah.”

Pada 4 Okt lalu, kerajaan Saudi mula membenarkan maksimum 6,000 warganegaranya dan pemastautin memasuki Masjidil Haram di Makkah setiap hari. Setiap penziarah diberi 3 jam untuk menunaikan umrah.

Pembukaan fasa ke-2 Masjidil Haram berkuat kuasa 18 Okt lalu, di mana maksimum 15,000 penziarah dan 40,000 orang yang terdiri daripada pemastautin dan warganegara Saudi dibenarkan bersolat berdasarkan masa tempahan melalui aplikasi atas talian.

Jemaah dari luar Arab Saudi dibenar menunaikan umrah mulai 1 Nov ini, susulan kapasiti umrah ditingkatkan kepada 20,000 orang setiap hari.

Arab Saudi menggantung umrah sejak Mac lalu untuk membendung penularan Covid-19.

Umrah memberi cabaran logistik besar kerana orang ramai akan membanjiri kawasan kecil yang akan mendedahkan mereka kepada jangkitan virus. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.