AMPANG JAYA: Polis memaklumkan sudah mengambil keterangan 2 mangsa terselamat dalam nahas helikopter di Taman Melawati pagi tadi.
Ketua Polis Ampang Jaya Mohamad Farouk Esha berkata, Ahmad Jauhari Yahya dan Tan Chai Elan diambil keterangan di lokasi kejadian dan ketika ini sudah dibawa ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan.
“Keterangan dia (Ahmad Jauhari) sudah diambil dan kita sudah hantar dia ke hospital. Kemungkinan kalau perlu kita akan panggil dia kemudian. Siasatan masih tidak selesai lagi, kita akan sambung lagi bersama dengan Tan,” katanya pada sidang media hari ini.
Ahmad Jauhari ialah bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Malaysia Airlines Berhad (MAS).
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong mengesahkan siasatan teknikal sudah dimulakan pasukan Biro Siasatan Kemalangan Udara, Kementerian Pengangkutan susulan nahas membabitkan 2 helikopter itu.
Wee berkata, laporan awal siasatan perlu disediakan dalam masa 30 hari dari tarikh kejadian.
Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, 2 individu maut selepas 2 helikopter bertembung dan terhempas di Taman Melawati.
Farouk berkata, polis turut meminta saksi yang melihat dan merakam video serta gambar ketika nahas itu berlaku tampil untuk membantu siasatan.
“Polis menjalankan sisatan bawah SDR iaiti kematian mengejut. Mohon saksi yang merakamkan kejadian tampil di balai polis Taman Melawati atau ibu pejabat polis daerah Ampang untuk membantu siasatan.
“Kita juga sudah kumpulkan saksi awal yang melihat kejadian. Saksi lain kita tengah kumpul. Jadi, kita minta kerjasama pihak yang berhampiran dan dapat merakam kejadian membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, jenazah 2 mangsa nahas itu sudah dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Cheras, dan bedah siasat akan dijalankan esok.
“Helikopter yang terhempas ini, bangkainya kita akan hantar ke ‘Systematic Aviation Services’ di Subang. Siasatan lanjut akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara, Kementerian Pengangkutan,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.