`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Wednesday, January 26, 2022

Sogok RM85,000 untuk ‘korek’ maklumat pelanggan, CEO mengaku tidak bersalah

 

Lim Eng Hoong, 46, mengaku tidak bersalah selepas kesemua 26 pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozina Ayob. (Gambar Reuters)

KUALA LUMPUR: Seorang Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat penyediaan perkhidmatan kandungan komunikasi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 26 pertuduhan memberi suapan berjumlah RM85,000 kepada seorang kakitangan sebuah syarikat telekomunikasi, lapan tahun lalu.

Lim Eng Hoong, 46, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-26, Lim didakwa secara rasuah memberikan suapan wang berjumlah RM85,000 kepada seorang lelaki yang juga kakitangan sebuah syarikat telekomunikasi melalui akaun bank atas nama seorang wanita.

Wang rasuah itu adalah sebagai upah kepada kakitangan syarikat telekomunikasi berkenaan kerana memberikan maklumat aduan pelanggan syarikat telekomunikasi itu kepada syarikat milik tertuduh iaitu daripada portal sistem perkhidmatan syarikat telekomunikasi tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di HSBC Amanah Cawangan Wangsa Maju di sini, antara 3 Dis 2014 hingga 1 Sept 2016, yang didakwa mengikut Seksyen 16 (b) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, yang membawa kepada hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asri Abdul Rahman Sidik menawarkan jaminan sebanyak RM40,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM berhampiran dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Peguam Emily Shir Lay yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya menanggung isteri serta tiga anak dan sejak pandemik dua tahun lepas syarikatnya tidak dapat menjana pendapatan sehingga tertuduh terpaksa menjual dua kereta miliknya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Rozina membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan syarat tambahan seperti yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan selain menetapkan 23 Feb ini untuk sebutan semula kes. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.