`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, September 6, 2022

Derma politik boleh diguna sebagai pembelaan, peguam beritahu mahkamah kes bicara Zahid

 

Hisyam Teh Poh Teik berkata tiga saksi yang memberi keterangan bahawa wang diberikan kepada Ahmad Zahid Hamidi merupakan derma kepada Umno.

SHAH ALAM: Mahkamah kini sudah mengiktiraf derma politik sebagai pembelaan yang boleh digunakan tertuduh yang berdepan dakwaan menerima “barang berharga”, kata peguam.

Hisyam Teh Poh Teik, berkata Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 tahun lalu, dalam membebaskan bekas menteri, Tengku Adnan Mansor, yang menerima RM2 juta daripada ahli perniagaan Chai Kin Kong.

Hisyam berkata, menurut penghakiman majoriti, wang berkenaan bertujuan disalur kepada Umno untuk mendanai dua pilihan raya kecil, pada 2016.

“Derma politik sudah menjadi pembelaan sah mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan,” katanya yang juga ketua pasukan pembelaan kepada Ahmad Zahid Hamidi, yang berdepan tuduhan rasuah.

Hisyam berkata, dalam kes Zahid, tiga saksi pendakwaan – pengurus pentadbiran Ultra Kirana Sdn Bhd David Tan dan pengarah, Harry Lee dan Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani – sudah memberi keterangan menyatakan ia merupakan derma kepada Umno.

“Dalam pernyataan saksi, mereka berkata wang berkenaan untuk Umno dan buka untuk Zahid,” katanya sambil menambah keterangan ketiga-tiga mereka memusnahkan kes pendakwaan.

Peguam itu berkata, Zahid merupakan seorang berkedudukan tinggi dalam Umno dan pernah menjadi naib presiden parti iti dan juga pernah memangku jawatan timbalan presiden ketika menerajui Kementerian Dalam Negeri, antara 2013 dan 2018.

Hisyam menegaskan bahawa Zahid menjalani “pendakwaan terpilih” selain mendakwa peguam negara yang juga pendakwa raya tidak bertindak adil.

“Kami hanya mengetahui berhubung pendakwaan terpilih selepas mendengar keterangan ketiga-tiga saksi,” katanya.

Pihak pembelaan mempersoal mengapa ahli politik lain tidak dikenakan tuduhan “menerima wang daripada UKSB”.

Peguam Ahmad Zaidi Zainal, yang turut mewakili Zahid, berhujah bahawa pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan sumber dana anak guamnya yang dikatakan diterimanya.

“Tuduhan menyatakan wang daripada UKSB, namun keterangan di mahkamah mendedahkan ia datang dari Hong Kong dan daripada dividen syarikat luar pesisir, di Labuan,” katanya.

Zaidi berkata, wang terbabit dihantar kepada pengurup wang di Kuala Lumpur, seterusnya menghantar dana itu kepada Tan dan Lee.

“Pengurup wang itu sedia (untuk dipanggil), namun pihak pendakwaan tidak memanggilnya untuk memberi keterangan. Sebaliknya, mereka ditawarkan kepada kami (sekiranya pihak pembelaan mahu memanggilnya),” katanya sambil menambah jaringan keterangan untuk menjejak wang itu tidak lengkap.

Zaidi juga berkata, Kementerian Dalam Negeri melanjutkan dua kontrak kepada UKSB adalah perkara biasa.

Zahid, yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, berdepan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SD13.56 juta (RM42 juta) daripada UKSB ketika menjadi menteri dalam negeri untuk melanjutkan kontrak firma itu sebagai pengendali pusat sehenti (OSC) di China dan visa luar negara (VLN), serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN.

Tuduhan menerima wang itu mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), manakala tuduhan alternativ mengikut Kanun Keseksaan.

Beliau juga berdepan 7 tuduhan mengikut Kanun Keseksaan kerana menerima untuk dirinya SD1.15 juta, RM3 juta, Swiss Francs 15,000 dan USD15,000 daripada syarikat sama berkait tugas rasminya.

Kesemua kesalahan itu didakwa berlaku di Seri Satria di Presint 16, Putrajaya dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dab Mac 2018.

Pendengaran bersambung di hadapan Hakim Yazid Mustafa esok. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.