`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, September 3, 2022

Kekal jawatan, letak jawatan

 

Empat hari lalu, Azalina Othman Said mengesahkan menerusi hantaran di Facebook, beliau masih berkhidmat sebagai penasihat khas kepada perdana menteri mengenai undang-undang dan hak asasi manusia.

Sehari kemudian, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan memaklumkan Azalina sudah meletak jawatan.

Baru-baru ini, beberapa pihak menggesa Azalina meletak jawatan berikutan ucapannya dalam taklimat khas presiden Umno pada 26 Ogos lalu yang mengundang kontroversi. Malah, khabar angin tersebar beliau sudah letak jawatan beberapa hari selepas taklimat berkenaan.

Antara yang diucapkan beliau pada 26 Ogos lalu ialah mengenai pelantikan peguam negara. Kita tahu Azalina memberitahu hadirin, sesiapa sahaja yang menjadi perdana menteri perlu melantik “orang dia” sebagai peguam negara untuk memudahkan urusan.

Dan dengan lantang beliau berkata: “Saya nak tanya satu sahaja, takkan nak tukar AG (peguam negara) pun tak boleh.”

Azalina tidak menyebut nama, tetapi kata-katanya itu disambut dengan laungan hadirin yang menuntut “Ismail Sabri tukar AG”.

Peguam Negara, Idrus Harun diketahui umum dilantik Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri ketika memimpin kerajaan Perikatan Nasional dahulu.

Peguam negara adalah penasihat undang-undang utama kerajaan. Dan peguam negara ialah peguam dan pendakwa raya bagi kerajaan. Ertinya, peguam negara bertindak dan menjaga kepentingan kerajaan, termasuk (atau terutama?) perdana menteri yang merupakan ketua kerajaan.

Oleh itu, apa yang Azalina cakap mengenai perdana menteri perlu melantik peguam negara daripada kalangan “orang dia” bukan pelik atau aneh.

Malah, pada 1961, Presiden Amerika Syarikat, John Kennedy melantik adiknya, Robert sebagai peguam negara pentadbirannya.

Namun, dalam konteks ucapan Azalina, yang dilihat kontroversi ialah ia dibuat dalam majlis Umno memuji dan memuja Najib Razak, yang hadirinnya rata-rata tidak puas hati dengan Ismail yang dituduh tidak bersungguh-sungguh menolong parti dan Najib yang dipenjarakan, setelah sabit kesalahan kes SRC International.

“Mood” dalam taklimat itu adalah sesuatu yang “anti-Ismail” dan apabila Azalina berkata ia dilihat atau ditafsir sebagai “mendesak” campur tangan Ismail dalam bidang kehakiman dan perundangan, seperti yang Umno mahu (atau tim presiden Umno mahu).

Anggapan atau gambarnya ialah Azalina “mahu” atau “mengalu-alukan” campur tangan eksekutif dalam bidang kehakiman antaranya, Bersih antara pihak yang kecewa.

Pengerusi Bersih, Thomas Fann mengkritik Azalina kerana “mengubah pendirian”. Kata Fann, setahun lalu semasa Muhyiddin menjadi perdana menteri, Azalina antara lain mencadangkan pemisahan kuasa kerana urusan mahkamah tidak boleh dicampuri.

Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari pula “mengingatkan” Azalina pernah mencadangkan penubuhan suruhanjaya siasatan diraja atau RCI bagi pembaharuan Jabatan Peguam Negara.

Azalina menafikan beliau sekarang mengesyorkan campur tangan eksekutif dalam bidang kehakiman dan sebagainya. Beliau tetap menegaskan masih tidak berganjak daripada pendiriannya dan “saya masih Azalina yang dulu”, katanya kepada Fann (beliau tidak respons kenyataan PAS). Jika mahu keterangan lanjut, sila rujuk Facebook Azalina mengenai penjelasan panjang lebarnya kepada Fann.

Namun, gambaran sebaliknya yang terukir (berbeza daripada penjelasannya) kerana seperti dikatakan tadi, oleh kerana ucapannya dibuat dalam majlis di mana ramai yang marah kerana Najib tidak diberikan “pembelaan” berdasarkan pandangan mereka, lantas mereka mahu Ismail melakukan “sesuatu”. Azalina dilihat senada dengan desakan itu.

Mungkin beliau bercakap dalam majlis, waktu dan keadaan yang salah. Dalam erti kata lain, tidak kena pada tempat dan waktunya.

Lantas gesaan supaya beliau meletak jawatan kedengaran di sana sini. Diulangi apa yang disebut di awal artikel ini.

Khabar angin bertiup kononnya Azalina sudah melepaskan jawatan yang dipegang sejak 2 Okt tahun lalu.

Pada 31 Ogos lalu, beliau tampil menafikan khabar angin itu dan berkata “sehingga 31 Ogos 2022, saya masih berkhidmat sebagai penasihat perdana menteri”. Tidak mengejutkan. Sebaliknya, ramai yang menjangkakan beliau sebagai seorang yang tegas dan keras, tidak akan tunduk kepada desakan pihak tertentu.

Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan rasmi pada 1 Sept memberitahu hasrat letak jawatan Azalina disampaikannya melalui surat bertarikh 29 Ogos dan perdana menteri menerima peletakan jawatan itu dengan notis sebulan seperti yang dimaklumkan dalam surat berkenaan.

Notis sebulan diberikan bertujuan menyelesaikan kerja-kerja berkaitan kakitangan beliau – namun dalam tempoh itu, “Azalina tidak lagi bertugas di Pejabat Perdana Menteri kerana diberi cuti mulai 1 Sept sehingga tamat notis pada akhir September,” menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri.

Selain kenyataan Pejabat Perdana Menteri, tidak ada kenyataan lain yang dikeluarkan berkaitan perkara ini. Azalina sendiri sehingga artikel ini ditulis, tidak berbuat apa-apa untuk memaklumkan beliau bukan lagi penasihat khas perdana menteri mengenai undang-undang dan hak asasi manusia.

Beliau nampaknya menyerahkan kepada Pejabat Perdana Menteri untuk membuat pengumuman.

Cukup sampai di sini buat masa ini. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.