PETALING JAYA: Kelewatan membayar elaun pengawas dan pemeriksa kertas jawapan peperiksaan dibimbangi akan mengurangkan motivasi lebih ramai guru dalam menjalankan tugas itu, tegas Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).
Presidennya, Aminuddin Awang berkata, kelewatan sebegini tidak sepatutnya berlaku, oleh itu Kementerian Pendidikan (KPM) serta Kementerian Kewangan diharap dapat segera menyelesaikan masalah tersebut.
“Kelewatan pembayaran ini mengurangkan motivasi guru-guru berkenaan dalam menguruskan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sama ada sebagai pengawas peperiksaan atau pemeriksa kertas SPM pada tahun hadapan.
“NUTP berharap KPM dan Kementerian Kewangan dapat memberi keutamaan kepada permasalahan ini agar pembayaran dapat disegerakan,” katanya kepada FMT.
Baru-baru ini, FMT melaporkan keluhan guru yang belum menerima elaun mengawas dan menanda kertas jawapan peperiksaan, selepas dua bulan keputusan SPM diumumkan pada 16 Jun lalu.
Guru yang enggan dinamakan kerana bimbang dikenakan tindakan tatatertib memberitahu FMT, masalah itu turut menimpa pengawas Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Sementara itu, Setiausaha Agung NUTP, Wang Heng Suan memberitahu FMT, perkara ini sudah dilaporkan kepada KPM.
“Aduan tersebut kita (NUTP) telah utarakan kepada pihak KPM. (Mungkin) akan diselesaikan dalam tempoh terdekat,” katanya ringkas.
Menurut pekeliling Perbendaharaan, guru boleh membuat tuntutan perjalanan 85 sen/km untuk 500km pertama dan 75 sen bagi km seterusnya.
Bagi elaun menjaga peperiksaan pula, guru dibayar RM225 dan RM300 sebagai ketua pengawas, yang kemudiannya ditambah dengan bilangan sesi. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.