PETALING JAYA: Mesyuarat Kabinet hari ini tidak menyentuh tarikh pilihan raya umum ke-15 (PRU15), sebaliknya hanya membincangkan persiapan berdepan banjir dijangka bermula Oktober, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan.
Katanya, perbincangan Kabinet tertumpu kepada persediaan menghadapi banjir berikutan amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi (METMalaysia).
“Mengikut maklumat METMalaysia pada Oktober akan berlaku banjir sama ada awal atau akhir bulan, kita tidak pasti.
“Jadi kita perlu membuat persiapan. Jika banjir berlaku, semua akan terbabit. Pasukan petugas khas, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), agensi berkaitan, Jabatan Kebajikan Masyarakat sedang buat persiapan termasuk pusat pemindahan sementara,” katanya menurut Berita Harian.
Isnin lalu Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata cadangan untuk mengadakan PRU15 dijangka dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
Beliau dilaporkan berkata akan membawa pendapat semua pihak berhubung bila PRU15 patut diadakan.
Dalam pada itu, Takiyuddin yang juga setiausaha agung PAS berpandangan lebih baik PRU15 tidak diadakan dalam tempoh terdekat.
“Bagi kita (PAS) lebih baik PRU15 tidak diadakan kerana sudah ada indikator akan berlaku banjir lebih awal,” katanya.
Pada 16 Sept, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan, berkata perjumpaan lima pemimpin tertinggi Umno bagi membincangkan berkenaan PRU15 diadakan pada 30 Sept, selepas dibatalkan pada 17 Sept.
Katanya, mesyuarat itu akan diadakan pada 8 malam dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan bermesyuarat pada malam sama.
Lima pemimpin tertinggi itu adalah presiden, Ahmad Zahid Hamidi, timbalan presiden, Mohamad Hasan dan tiga naib presiden – Khaled Nordin, Mahdzir Khalid dan Ismail yang juga perdana menteri. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.