`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, September 11, 2022

Musuh mu musuh ku

 

Tengok kisah sekarang teringat kisah lama. Saya bercakap mengenai politik, tentunya. Kisah sekarang ialah perang Umno-PAS. Kisah dulu perang Umno lawan Umno.

Imbau dulu kisah lama. Pemilihan Umno 1987. Perang saudara meletup. Besar perangnya. Pada satu pihak Dr Mahathir Mohamad dan Abdul Ghafar Baba yang dipanggil Tim A. Ramai lagi pemimpin dalam Tim A tetapi dalam konteks artikel ini memadai dinamakan “top two”.

Mahathir ketika itu presiden Umno dan perdana menteri . Ghafar pula timbalan perdana menteri setelah dilantik Mahathir untuk menggantikan Musa Hitam yang letak jawatan kerana berkelahi dengan Mahathir.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Oleh itu pada pemilihan Umno 1987, Ghafar bertanding jawatan timbalan presiden untuk memberi mengesahkan kedudukannya, kerana ikut tradisi timbalan perdana menteri juga timbalan presiden Umno.

Musa walaupun letak jawatan timbalan perdana menteri tidak melepaskan jawatan timbalan presiden Umno yang disandang. Lalu pada pemilihan 1987, beliau mempertahankan jawatan. Berganding dengan Tengku Razaleigh Hamzah yang mencabar Mahathir untuk jawatan presiden Umno. Regu Razaleigh atau Ku Li dengan Musa bersama ramai nama besar ketika itu dikenali sebagai Tim B.

Apabila Musa mengumumkan keputusan untuk bersama Tengku Razaleigh, bukan sahaja Umno gempar negara turut terkejut. Sebab Musa dan Ku Li musuh ketat dalam Umno. Masing-masing dengan kekuatan dan kebolehan, serta mempunyai ramai penyokong.

Kedua-dua dilihat sebagai mempunyai kebolehan dan kemampuan untuk menjadi presiden Umno sekali gus perdana menteri suatu hari nanti.

Pada Pemilihan Umno 1981, Musa dan Ku Li bertembung untuk jawatan timbalan presiden. Pertandingan sengit yang akhirnya dimenangi Musa. Tiga tahun kemudian iaitu pada pemilihan Umno 1984, Tengku Razaleigh sekali lagi bertarung dengan Musa untuk jawatan timbalan presiden. Kempen pertandingan lebih sengit. Sekali lagi Ku Li tewas. Musa kekal timbalan presiden Umno.

Selepas pemilihan parti masalah mereka tidak selesai. Meskipun kedua-dua duduk dalam Kabinet Mahathir, bukan lah rahsia besar mereka saling tidak mempercayai dan mencurigai satu sama lain. Ertinya “intensed political rivalry” antara mereka berterusan.

Lantas itulah sebabnya ramai terkejut apabila Musa dan Razaleigh berbaik dan bergabung dalam satu pasukan untuk menentang Mahathir dan pasukannya pada pemilihan Umno 1987. Persoalan yang timbul dalam kalangan orang Umno, pemerhati politik, juga rakyat biasa ketika itu ialah adakah benar perdamaian sudah terjalin antara kedua-dua pemimpin.

Saya berkesempatan bertanya seorang anggota Tim B yang amat rapat dengan Musa. Adakah sengketa lama sudah dilupai? Tuduh menuduh antara kedua-dua pemimpin waktu itu disifatkan amat keras dan pedih.

Jawab orang kuat Musa ringkas: “Kita kalahkan Mahathir dulu. Lepas itu kita ‘take care of Ku Li'”. Maksudnya ditakdirkan Tim B Berjaya menumpaskan Mahathir, perang Musa-Razaleigh akan terjadi semula. Begitu yang saya faham daripada apa yang dikatakan orang kuat Musa kepada saya menjelang pemilihan Umno 1987.

Mengambil kira kata-kata itu, jelas orang kuat Musa itu dan pasukannya berpegang kepada pendapat “the enemy of my enemy is my friend”. Musuh kepada musuh aku ialah kawan aku. Yakni musuh bersama mereka ialah Mahathir. Maka bereskan dulu masalah dengan Mahathir dan apabila berjaya bereskan masalah sesama sendiri. Saya tidak tahu sama ada Musa mahupun Ku Li berpendirian sedemikian ketika mereka berdamai.

Itu kisah lama dan ini kisah zaman sekarang. Apa yang sedang dipertontonkan kepada kita masa kini kebelakangan ini. Kisah Umno dengan PAS.

Sejak berzaman kedua-dua parti itu bersengketa dengan cukup sengit sehingga pernah ‘difatwakan’ apa yang digelar Amanat Hadi. Tidak perlu saya menjelaskannya. Anak muda yang mungkin tidak berapa tahu sila Google dan akan terhurailah apa itu Amanat Hadi.

Serangan Umno ke atas PAS tidak kurang kasar dan dan tajam walaupun diakui Amanat Hadi menyentakkan.

Untuk pendekkan cerita yang panjang apabila BN yang diterajui Umno tewas pada PRU14, terbitlah usaha untuk kedua-dua parti berbaik-baik demi “perpaduan ummah”. Lahirlah Muafakat Nasional.

Semua maklum tujuannya untuk merampas pemerintahan negara daripada genggaman Pakatan Harapan. Namun apabila PAS “mandi dalam beberapa kolam” (ini kata pemimpin tertinggi Umno) maka MN dilihat terbarai. Meskipun Umno kata MN sudah ditalkinkan, realitinya riwayat MN belum ditamatkan secara rasmi.

Oleh itu kita saksikan sekarang kata-kata pedih, bertikam lidah, dan serang menyerang antara Umno-PAS dan pada masa yang sama ada juga kata-kata terutama daripada PAS yang nyata dirancang untuk memberi gambaran MN masih atau boleh terus hidup.

Lihat apa yang diperkatakan oleh presiden PAS dan pemimpinnya pada muktamar parti tempoh hari. Tidak perlu saya ulangi.

Perkembangan terbaharu ialah kenyataan Naib Presiden Umno, Mahdzir Khalid semalam bahawa pimpinan partinya akan menilai cadangan PAS agar Umno bekerjasama dengan PAS bagi 27 kerusi Parlimen (yang dikatakan “kritikal”) pada PRU15.

“Umno sudah mula berlembut,” kata seorang pemerhati politik yang berpengalaman luas mengikuti perkembangan Umno khususnya.

Mahdzir bagaimana pun tidak memaklumkan respon partinya, sekadar memperincikan prosedur lazim seperti cadangan perlu melalui biro politik dan majlis kerja tertinggi yang mempunyai kuasa membuat keputusan. Namun menurut laporan media, Ismail Sabri Yaakob, yang seperti Mahdzir dan Khaled Nordin juga naib presiden, dilihat “menerima” untuk mempertimbangkan cadangan itu.

“Itu satu cadangan yang perlu diberi perhatian supaya tidak berlaku pertembungan (Umno-PAS) di 27 kerusi kritikal itu kerana kalau berlaku pertembungan mungkin boleh memenangkan parti pembangkang,” Ismail dilapor berkata.

Saya tidak dapat elak bertanya adakah PAS mengutarakan cadangan “kerjasama untuk 27 kerusi” sebagai langkah awal untuk terlebih dahulu menjaga air muka setelah kata-kata kesat dilemparkan ke atas Umno? Begitu juga Umno. Kerana mahu jaga air muka maka menyatakan kesediaan mempertimbangkan cadangan setelah pelbagai tuduhan keras dilontar terhadap PAS?

Apa pun persoalan utama adakah ini benar-benar hanya membabitkan 27 kerusi kritikal atau cadangan kerjasama menyeluruh akan menyusul?

Saya tidak terperanjat jika Umno dan PAS berbaik-baik semula jika kedua-dua parti yakin langkah itu boleh memberi kemenangan pada PRU15. Ertinya untuk menang mereka boleh dan akan berbuat apa sahaja. Ini soal kemenangan dan kelangsungan hayat politik, bukan soal ideologi. Bermaaf-maafan atau buang yang keruh ambil yang jernih.

Jika MN yang sedang tenat diberi nafas baharu, bagi saya Umno dan PAS juga berpegang kepada pendirian “the enemy of my enemy is my friend”. Berbaik untuk menewaskan musuh bersama atau “common enemy” – Pakatan Harapan. Tetapi adakah Umno dan PAS juga berpendirian sama dengan apa yang dikatakan kepada saya oleh orang kuat Musa Hitam 35 tahun lalu? Kalahkan “common enemy” dulu kemudian bereskan masalah lama Umno-PAS?

Adakah ia sekadar gencatan senjata yang bersifat sementara, dan perang Umno-PAS akan disambung setelah menang PRU? Atau memang kedua-dua parti ikhlas berbaik dan menjalin perdamaian? Saya tidak berhasrat menjawab segala teka teki itu. Tidak adil saya buat kesimpulan pada waktu ini. Biar masa menentukan.

Lagi pun belum ada keputusan muktamad dibuat terutama Umno. Tetapi jika (diulangi jika) ada satu isu yang boleh mencetuskan perbalahan dan persengketaan, ia tentulah membabitkan jawatan perdana menteri.

Umno memang mahu jawatan itu diduduki pemimpinnya. Ini semua sudah maklum. PAS pula sejak sekian lama yakin dan percaya Abdul Hadi Awang layak jadi perdana menteri. Kepercayaan dan keyakinan itu tidak pernah luntur. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.