`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, September 11, 2022

Kerajaan campuran pasca PRU15

 

Saya percaya parti-parti politik yang bakal merebut kepercayaan pengundi ketika pilihan raya umum ke-15 (PRU15) sudah perlu menyiapkan pengikut tegar dan ahli politik setia mereka agar berhenti taksub keterlaluan. Jangan mengada-ada berpura-pura menafikannya.

Ini kerana pilihan raya umum ke-15 yang bakal diadakan bila-bila masa dari sekarang akan memberikan satu keputusan yang mungkin mengecewakan mereka. Malah keputusan itu akan memaksa parti-parti sedia ada untuk membentuk kerajaan campuran di mana kerjasama antara kumpulan berseberangan kutub – konservatif, liberal dan progresif – baik mereka itu pernah khianat atau tiada khianat; pasti berlaku.

Inilah senario yang sedang diperkatakan oleh semua ahli sains politik yang memberi tumpuan kepada iklim siasah negara kita ini. Jangan mengada-ada berpura-pura menafikannya.

Hal ini berlaku kerana pertamanya ialah, terdapat pertembungan banyak penjuru dalam PRU15 kelak. Pertembungan beberapa segi dan sudut ini akan membawa kepada keputusan yang sukar ditelah dan pastinya berbaur-baur. Oleh sebab itu adalah dijangkakan terdapat keperluan untuk membentuk kerajaan campuran. Faktor banyak kem dan parti ini akan dirumitkan lagi oleh penambahan jumlah pengundi baharu (tidak semestinya mereka itu muda) dan pengundi atas pagar yang pernah dihampakan dalam PRU14 yang lalu. Dapatan kami dari medan dan padang permainan memberi petunjuk-petunjuk di atas yang sukar dipungkiri. Jangan mengada-ada berpura-pura menafikannya.

Kerajaan campuran sayugia diingatkan tidaklah terlalu buruk. Buruk-buruk kerajaan campuran pimpinan Ismail Sabri Yaakob hari ini, pentadbiran ini telah melakukan reformasi yang banyak (meski kerana MoU dengan Pakatan Harapan). Antara lain yang dapat dianggap bersejarah ialah undang-undang yang dianggap mempunyai kepentingan kepada semua rakyat dan negara iaitu RUU Pindaan Perlembagaan Larangan Ahli Bertukar Parti yang diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Keduanya, kerajaan campuran juga akan dan nampaknya mesti berlaku sekiranya parti-parti sedia bertanding itu berpakat untuk menjatuhkan musuh tertentu. Di Kelantan negeri Pantai Timur misalnya, Pakatan Harapan (khusus Amanah) perlu bekerja dengan Umno Kelantan untuk menjatuhkan parti air karat dan keruh iaitu pentadbiran PAS yang kelihatannya telah melupakan legasi Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat seperti yang diisyaratkan dalam Muktamarnya baru-baru ini.

Di Perak, untuk menyekat PAS dan Perikatan Nasional, DAP tidak dapat tidak perlu bekerja dengan Umno (bukan kluster mahkamah) dan ini sahaja caranya untuk memberi sebuah DUN yang stabil. Komposisi kerusi atau tempat di DUN Perak rumit untuk mencapai dua pertiga. Di negeri ini terdapat 59 buah kawasan DUN, di mana DAP sedang menuntut untuk bertanding di lapan kerusi Parlimen dan 20 kerusi DUN pada PRU15. Prestasi parti itu di Perak agak memberangsangkan. Pada PRU14, DAP memenangi kesemua kerusi Parlimen dan DUN yang ditandingi parti itu iaitu tujuh kerusi Parlimen dan 18 DUN. Hanya yang agak mencacatkan DAP ialah ADUN Tronoh Paul Yong Choo Kiong dan ADUN Buntong A Sivasubramaniam, kedua-duanya dari DAP, keluar dari parti itu Mac lalu kini menyertai Bersatu.

Sebetulnya dengan jumlah kerusi yang demikian, Perak perlu membentuk sebuah kerajaan campuran yang terbaik untuk rakyat. Kebanyakan pengundi Cina bersedia agar sebuah kerajaan DAP Perak bekerjasama dengan Umno yang bersih daripada ia jatuh ke tangan PAS yang angkuh, dan benak.

Di Pahang, DAP mungkin perlu bekerja dengan PAS untuk membenamkan Umno. Ini penting kerana sebuah kerajaan yang prihatin akan nasib rakyat yang dilanda balak demi balak dan bala demi bala perlu diusulkan. Tiada kuasa dari atas dapat membantu rakyat melainkan rakyat sendiri membentuk kesepakatan dalam bentuk kerajaan campuran. Jangan mengada-ada berpura-pura menafikannya.

Pilihan raya di Sabah telah memberikan kita senario betapa formula negeri tidak akan berjaya di Persekutuan, demikian juga formula di peringkat Persekutuan tidak semestinya akan membawa hasil yang sama di Malaysia Timur.

Justeru, jika ada penyokong taksub parti-parti tertentu yang misalnya berteriak-teriak untuk tidak menerima parti yang tertentu pula sebagai rakan gabungan, mereka perlu segera disedarkan yang hakikat politik menjelang PRU15 mendorong ke arah ini. Hanya ini sahaja caranya untuk mengekang kemaraan politikus yang berlumuran rasuah dan sedang bergelut untuk melepaskan diri mereka.

Maka kerjasama melampaui parti akan diperlukan untuk memagar negara ini dari jatuh ke tangan penyangak dan penyamun yang sedang gerun jika ditumbangkan di mahkamah. Harus diingatkan, politisyen penyeleweng dan kaki korupsi ini nampaknya ada dalam semua parti, baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang. Maka di pihak pengundi, semua calon parti dilihat setara. Hanya mereka yang taksub sahaja cuba menidakkannya. Jangan mengada-ada berpura-pura menafikannya.

Jika pengikut parti kamu disiapkan dengan hakikat bahawa mereka perlu menerima rakan atau musuh yang dibenci semata-mata untuk membolehkan sebuah kerajaan berfungsi kelak, maka inilah masanya para pemimpin parti memberitahu ahli-ahli mereka supaya bertenang dan berfikir dengan waras. Malah lebih baik berkawan sekarang dari berkawan kemudian kerana ia mungkin mendorong rundingan yang rumit.

Kerajaan campuran sebenarnya tidaklah satu idea yang begitu buruk. Seorang Duta Besar dari negara Eropah pernah memberitahu saya yang kebanyakan kerajaan di Eropah dan Scandinavia yang berjaya adalah hasil dari pembentukan kerajaan campuran di mana tarik tolak antara parti-parti ini dengan manifesto mereka itu akan menyediakan manfaat besar buat rakyat.

Akan tetapi rakyat memerlukan pemimpin parti politik yang sedia berkorban untuk kami semua rakyat yang tidak cenderung kepada mana-mana parti. Untuk tujuan itu pemimpin parti perlu menenangkan ahli parti dan penyokong mereka yang taksub. PRU15 tidak serupa dengan PRU14. Semuanya telah berubah. Jangan mengada-ada berpura-pura menafikannya. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.