`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, September 16, 2022

Penyanyi rap sebar mesej perpaduan pada Hari Malaysia

 

(Dari kiri) Jiven, Vik dan Vishnu menyeru rakyat Malaysia menghormati satu sama lain tanpa mengira kaum pada Hari Malaysia ini. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)

PETALING JAYA: Apabila empat penyanyi rap muda memuat naik video TikTok mengenai diskriminasi terhadap kaum India Malaysia, kumpulan itu bersiap sedia menerima kehadiran komen kebencian yang ditujukan kepada mereka.

Bagaimanapun, mereka sebaliknya menerima sokongan dan empati, bukan sahaja daripada kaum India Malaysia tetapi daripada kaum lain juga.

“Kita bersedia untuk menerima komen kebencian, tetapi kira-kira 96% adalah komen positif daripada komuniti Melayu dan Cina serta bangsa lain juga,” kata Vishnu Pathmanaban yang berusia 30 tahun.

“Kami amat terkejut,” katanya.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Malah, video rap itu menjadi tular dan mencapai sejuta jumlah tontonan dalam masa dua hari. Pengguna Singapura turut memberikan tanda ‘suka’ pada video itu dan menulis komen.

Dalam video itu, Vishnu, Jiven Sekar, Vikneswaran Veerasundar dan Heer Raj Prem Kumar, membuat rap tentang bagaimana orang India sering dianggap sebagai samseng yang memegang parang, diejek kerana warna kulit mereka yang lebih gelap dan sering dinafikan biasiswa untuk pendidikan tinggi walaupun cemerlang.

Jiven Sekar berkata video rap kumpulan itu telah bergema dengan ramai rakyat Malaysia yang percaya menggambarkan dengan tepat keadaan menyedihkan di negara ini. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)

Jiven, 29, berkata, video itu menjadi tular kerana lirik lagunya bergema dengan kebanyakan rakyat Malaysia yang percaya ia menggambarkan realiti sebenar dan perlu diberitahu.

“Ini adalah perkara yang orang mahu bincangkan,” katanya.

Bersuara mengenai isu diskriminasi kaum bukanlah sesuatu yang luar biasa untuk empat penyanyi rap ini kerana masing-masing kerap menyiarkan kandungan di saluran YouTube masing-masing.

Vikneswaran, atau mahu dikenali sebagai Vik, membuat sketsa komedi mengenai topik itu sebelum ini di saluran YouTube miliknya, Vikarworld yang dimulakan pada 2011.

Bagaimanapun, kali ini dia mahu melakukan sesuatu yang boleh memberi impak lebih besar. Justeru, video itu dirakamkan menjelangnya Hari Merdeka mengenai topik yang dekat di hatinya.

“Saya ingin bercakap mengenai pergelutan kami (sebagai orang India). Siapa lagi, kalau bukan kami?” kata Vik, 29, yang bercakap kepada FMT bersama rakan penyanyi rap, Vishnu dan Jiven.

Mereka menjelaskan bahawa lagu rap itu disampaikan dalam bahasa Melayu dan Tamil atas alasan tertentu.

Vikneswaran Veerasundar berkata video rap itu penting buat dirinya kerana dia sentiasa ingin membincangkan pergelutan yang dihadapi oleh kaum India di Malaysia.

Menurut Vik, kumpulan itu memilih untuk menyanyi rap dalam bahasa kebangsaan supaya ia sampai kepada kumpulan penonton lebih besar untuk mendengar mesej bagaimana diskriminasi kaum memusnahkan perpaduan sosial.

“Saya melakukan penggambaran dengan sekumpulan selebriti Melayu, dan saya bercakap mengenai isu-isu yang dihadapi oleh kaum India dan mereka terkejut,” katanya.

“Kerajaan mengatakan sesuatu yang berbeza dengan apa yang orang rasakan. Orang ramai mahu mendengar tentang perkara-perkara ini (diskriminasi, perkauman), dan mereka ingin tahu bagaimana untuk menyelesaikan isu itu,” katanya sambil menambah bahawa dia merasakan video rap itu telah mencapai matlamatnya untuk mewujudkan kesedaran yang lebih baik tentang isu itu.

Vishnu Pathmanaban berkata lebih ramai lagi rakyat Malaysia perlu mengamalkan perbualan secara terbuka dan matang mengenai isu-isu sensitif. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)

Vishnu berkata, untuk menjadikan perpaduan sosial menjadi realiti, perbualan terbuka tentang isu sensitif perlu berlaku. “Kita perlu mengadakan perbualan yang sukar dengan cara yang matang daripada menutupnya.”

Vikneswaran berkata, adalah jelas bahawa video mereka merangsang perbincangan dalam talian antara kaum yang berbeza, yang dia rasakan sebagai permulaan yang baik. Katanya, beliau juga percaya bahasa merupakan aspek penting dalam menggalakkan perpaduan.

“Salah satu sebab mengapa tiada perpaduan adalah halangan bahasa. Saya melihatnya di sekolah,” katanya yang menambah, pelajar dari kaum yang sama lebih suka berkumpul bersama dan bertutur dalam bahasa ibunda mereka.

“Mempunyai satu bahasa itu penting,” katanya sambil menambah ini adalah salah satu sebab mengapa bahasa Melayu digunakan sebagai sebahagian daripada lirik untuk rap.

Jiven berkata, pendidikan adalah alat penting untuk mempromosikan perpaduan dan sistem pendidikan Malaysia boleh melakukan beberapa penambahbaikan.

Pemuda itu berkata, mereka berharap video itu akan menggalakkan orang lain memuatnaik kandungan sama di media sosial. Mereka juga mereka, kumpulan itu bersedia untuk berkolaborasi dengan penyanyi rap berbangsa lain untuk membentuk kesedaran mengenai isu sosial lain. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.