`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, September 9, 2022

Sediakan biasiswa, latihan untuk lahirkan doktor pakar di Sabah, kata KP Kesihatan

 

Dr Noor Hisham Abdullah (tengah) dan Shahelmey Yahya. (dua dari kiri) bergambar bersama peserta sesi ‘townhall’ kertas putih kesihatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di Kota Kinabalu, hari ini.

KOTA KINABALU: Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menyeru kerajaan negeri Sabah supaya menyediakan biasiswa dan latihan bagi melahirkan lebih ramai doktor dan pakar di negeri itu.

Katanya, kerajaan persekutuan sentiasa berusaha mencari jalan terbaik bagi menambah baik sistem kesihatan di negara ini namun kerajaan negeri juga boleh membantu dengan caranya sendiri.

“Saya harap kerajaan negeri boleh membantu dengan memberi biasiswa kepada anak-anak Sabah dalam bidang ini supaya kita boleh menampung keperluan doktor dan pakar yang kurang di negeri ini,” katanya pada sesi ‘Town Hall’ kertas putih kesihatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Noor Hisham berkata, orang tempatan di Sabah perlu dilatih dan ditempatkan di negeri ini, sama seperti tempat-tempat lain di negara ini.

“Ini kerana doktor dan pakar dari negeri lain biasanya akan meminta dipindahkan di kampung halaman masing-masing dan saya yakin doktor serta pakar dari Sabah juga mahu mencurah bakti di negeri sendiri.

“Selain itu, universiti tempatan yang ada di Sabah juga boleh menawarkan program master (sarjana) dalam bidang berkenaan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Menteri Hajiji Noor berkata, nisbah doktor di Sabah kepada penduduk adalah jauh lebih rendah berbanding purata kebangsaan.

“Seorang doktor untuk 872 orang penduduk (1:872) berbanding seorang doktor untuk 441 orang penduduk (1:441) di peringkat kebangsaan.

“Untuk perkhidmatan pergigian di Sabah pula, nisbah doktor gigi kepada penduduk adalah seorang doktor gigi untuk hampir 7,000 orang penduduk, berbanding purata kebangsaan seorang doktor gigi untuk 2,816 orang penduduk,” katanya dalam teks ucapannya yang disampaikan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Shahelmey Yahya.

Beliau berkata, tidak dapat dinafikan sekiranya dibandingkan dengan negeri lain di Semenanjung, Sabah menghadapi kekangan dari segi peruntukan kewangan, fasiliti kesihatan dan sumber manusia yang terhad.

Selain itu katanya, klinik kesihatan dan peralatan usang adalah juga menjadi isu utama dalam sistem perkhidmatan di Sabah. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.