`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, September 21, 2022

TH digesa kaji semula subsidi haji, fokus jemaah kurang mampu

 

Tabung Haji dianggar membelanjakan hampir RM200 juta untuk musim haji tahun ini bagi menampung sebahagian daripada kos sebenar mengerjakan ibadah itu.

KUALA LUMPUR: Sejurus berakhirnya musim haji tahun ini, isu kemungkinan berlaku lagi peningkatan bayaran mengerjakan ibadah itu untuk jemaah muassasah di negara ini kembali dibicarakan.

Kemungkinan itu dibayangkan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Azman Mokhtar bulan lepas yang berkata, Tabung Haji dijangka membincangkan isu kenaikan kos musim depan dengan kerajaan.

Bagi mereka yang terlibat dalam pengurusan haji, peningkatan bayaran untuk musim haji 1444 Hijrah/2023 Masihi, jika berlaku, dianggap wajar kerana kos mengerjakan ibadah itu sebenarnya meningkat saban tahun atas beberapa faktor, termasuk inflasi, pergerakan nilai tukaran mata wang, pengenalan caj dan cukai baharu oleh Arab Saudi, selain pembangunan di Makkah serta Madinah.

Pun begitu, kata mereka, kenaikan kos itu tidak begitu dirasai jemaah haji muassasah negara ini, lantaran langkah TH yang menyediakan bantuan kewangan.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Tidak dapat elak

Berkongsi pandangan mengenai perkara itu, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Md Daud Che Ngah berkata, peningkatan kos haji perlu diterima bakal jemaah kerana ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Menurutnya, kenaikan itu fenomena yang sudah dijangka, khususnya pasca pandemik Covid-19.

“Memang dijangka kos haji meningkat setiap tahun atas beberapa faktor, termasuk penginapan jemaah, pengangkutan dan pergerakan jemaah haji serta lain-lain perkara yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi di saat kita masih berhadapan dengan pandemik Covid-19 ini.

“Umat Islam yang berhasrat menunaikan haji perlu bersedia dengan kenaikan kos itu, dan mereka (bakal haji) tidak boleh bergantung pada subsidi atau bantuan kewangan semata-mata untuk menunaikan ibadat tersebut,” katanya kepada Bernama.

Ini juga seiring pendekatan maqasid syariah (matlamat dalam setiap hukum syarak) yang mana antara kewajipan menunaikan fardu haji adalah bagi mereka yang berkemampuan, termasuk dari sudut kewangan.

Justeru, sekiranya bakal jemaah haji memahami konsep berkemampuan mengikut lunas Islam, pasti secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan beban kos subsidi yang ditanggung TH.

“Istilah kemampuan ini juga boleh dipecahkan kepada aspek berikut, iaitu bakal haji berkemampuan membayar kos tunai haji, ada bekalan nafkah untuk waris ditinggalkan, ada pengangkutan, aman perjalanan (tiada kekacauan), sihat tubuh badan dan mempunyai masa dan kebenaran (untuk menunaikan haji).

“Sudah tiba masanya TH tidak dibebankan dengan jumlah subsidi haji yang tinggi dan bakal haji perlu bersedia membayar lebih serta tidak boleh lagi bergantung pada bantuan TH semata-mata.”

TH dianggar membelanjakan hampir RM200 juta untuk musim haji tahun ini bagi menampung sebahagian daripada kos sebenar mengerjakan ibadah tersebut.

Teliti pemberian subsidi

Sebagai “orang lama” dalam bidang pengurusan haji, katanya, pemberian bantuan kewangan haji perlu diteliti semula, termasuk hanya diberikan kepada bakal haji yang benar-benar layak.

Ini kerana bantuan kewangan yang diberikan secara langsung oleh TH ketika ini tidak hanya dimanfaatkan golongan sasaran, tetapi turut dinikmati mereka yang berpendapatan tinggi dan berkemampuan membayar kos sebenar.

“Saya pernah berkhidmat dengan TH kira-kira 25 tahun, dan saya melihat peruntukan subsidi yang diberikan kepada jemaah muassasah ini terlalu tinggi hingga lebih 60% untuk seorang jemaah.

“Bagi saya, secara peribadi, TH kena nilai semula pemberian subsidi haji secara menyeluruh sebab kita tidak mahu, jika bantuan tersebut diberikan dalam jangka panjang, akan beri kesan kepada TH sendiri. Bagi saya, kalau nak bagi bantuan pun cukup sekadar 30%.

“Dalam situasi ini, kita kena berbalik kepada maqasid syariah. Selain keupayaan kewangan, mereka yang layak juga mestilah sihat tubuh badan dan bebas penyakit. Saya lihat ada jemaah menggunakan kerusi roda dan ditolak dengan bantuan petugas haji, sedangkan mereka yang sakit ini tidak wajib pun menunaikan haji.”

Awal tahun ini, TH menganggarkan kos menunaikan ibadah itu bagi setiap jemaah muassasah untuk musim 1445 Hijrah/2022 Masihi ialah RM25,540, namun angka sebenar meningkat kepada RM28,632.

Daripada jumlah itu, seorang jemaah muassasah B40 hanya membayar RM10,980, manakala bukan B40 sebanyak RM12,980.

Pandangan senada turut disuarakan Pengarah Eksekutif Wira Saujana Travel & Tours, Mohamad Adzri Othman yang berkata, pemberian bantuan itu seharusnya dibuat secara bersasar dengan memfokuskan individu kurang berkemampuan, bukan meliputi semua jemaah seperti amalan semasa.

“Bantuan yang diberikan biarlah adil, sedangkan ada dalam kalangan jemaah muassasah ini daripada mereka yang mampu pergi haji tanpa bantuan (kewangan) TH pun. Bagi saya, perkara seperti inilah yang perlu dinilai semula.”

Perkhidmatan lebih baik

Adzri berkata, jemaah seharusnya akur dengan peningkatan kos mengerjakan haji kerana ia seiring kualiti perkhidmatan dan kemudahan ditawarkan kepada setiap jemaah.

Namun begitu, menurutnya, jemaah haji di negara ini masih beruntung kerana bayaran ditetapkan itu masih rendah berbanding negara lain.

“Untuk jemaah muassasah, mereka yang mendapat subsidi hanya perlu membayar jumlah kecil berbanding kos sebenar ibadah itu.

“Jemaah swasta pula perlu membayar kos haji lebih RM30,000 seorang. Walaupun jumlah ini disifatkan agak besar, perkhidmatan yang kita berikan sebagai pengendali haji swasta adalah yang terbaik, termasuk penginapan dan kemudahan pengangkutan selesa untuk jemaah.”

Jelasnya, peningkatan kos mengerjakan ibadah haji juga dibuat mengikut situasi semasa berikutan kerajaan Arab Saudi sentiasa menaik taraf semua perkhidmatan bagi keselesaan jemaah haji.

“Jika belum berkemampuan, tidak perlu memaksa diri mengerjakan haji. Bagi saya, dengan kos tinggi yang jemaah bayar, mereka boleh menikmati setiap kemudahan terbaik, bukan saja disediakan kerajaan Arab Saudi, tetapi juga syarikat pengendali haji.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.