SEREMBAN: Umno Negeri Sembilan yakin mampu merampas semula tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) berdasarkan “mood” pengundi kini dikatakan telah kembali menyokong parti itu.
Tujuh kerusi tersebut – Lenggeng, Labu, Klawang, Sikamat, Pilah, Ampangan dan Paroi – yang majoritinya pengundi Melayu, dimenangi PH pada pilihan raya umum (PRU) lalu.
Setiausaha Umno negeri, Mustafa Salim berkata, pada PRU14 lalu, Umno gagal mempertahankan tujuh kerusi itu akibat peralihan undi yang memihak kepada PH, menyebabkan kerajaan negeri tumbang dan PH berjaya membentuk kerajaan baharu dengan menguasai 20 daripada 36 kerusi DUN.
“DUN Paroi antara sasaran untuk ditawan semula, walaupun kita tewas dengan majoriti lebih 4,000 undi. Bukan saja Paroi, malah enam DUN lain juga bakal menjadi milik Umno semula.
“Saya berkata demikian kerana kita melihat kepada ‘mood’ pengundi yang rata-rata ditemui, dan kebanyakan mereka dahulu menyokong PH, telah beralih kepada Umno,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, fokus Umno negeri kini ke arah DUN tersebut dan gerak kerja menumpukan usaha menyantuni pengundi untuk merampas tujuh kerusi itu.
Pada PRU14, Umno tewas di Labu dengan majoriti 882 undi, Klawang (976 undi), Lenggeng (986 undi), Ampangan (1,360 undi), Pilah (1,806 undi), Sikamat (3,413 undi) dan Paroi (4,841 undi). Sebelum PRU14, Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan menguasai negeri dengan 22 kerusi berbanding pembangkang (ketika itu Pakatan Rakyat) 14 kerusi.
Sementara itu, Mustafa mengakui kejatuhan BN di Negeri Sembilan akibat isu nasional – merujuk 1MDB – yang menyebabkan beberapa kawasan dianggap kubu kuatnya terlepas ke tangan PH.
“BN negeri mempunyai alasan untuk merampas DUN dan kembali membentuk kerajaan daripada PH kerana ada beberapa isu yang dijanjikan, namun gagal diselesaikan,” katanya.
Beliau melihat beberapa isu lain yang masih membayangi PH, terutama dari segi pembangunan infrastruktur di kawasan bandar dan luar bandar yang perlahan, menyebabkan pengundi merasakan mereka tertipu dan kebanyakan pengundi kembali menyokong Umno/BN.
“Di Ampangan, ada isu antara orang MB (menteri besar) dengan wakil rakyat di DUN ini. Begitu juga di Lenggeng, kita dapat makluman, pertelagahan antara wakil sedia ada dengan speaker DUN.”
Dalam pada itu, Mustafa juga memberitahu, BN negeri sedang mengenal pasti calon untuk diketengahkan, termasuk muka baharu seperti dilakukan gabungan itu pada PRN Melaka dan Johor.
“Soal calon belum dimuktamadkan lagi kerana kita mengambil kira faktor pengundi baharu.” - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.