`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, September 26, 2022

Zahid dan PRU15

 

Intipati artikel ini sudah dijelaskan pada tajuknya, tetapi ini bukan ulasan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membebas dan melepaskan Ahmad Zahid Hamidi daripada tuduhan rasuah membabitkan kes sistem visa luar negara.

Lantas artikel ini bukan mengenai ramalan pelbagai pihak bahawa PRU15 akan diadakan segera berikutan keputusan mahkamah yang dibuat Jumaat lalu yakni 23 Sept 2022.

Ada penganalisis politik berpendapat, dengan mengambil kira keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam, Zahid, selaku presiden Umno layak jadi “poster boy” Umno-BN apabila PRU15 diadakan. Diulangi pada kadar segera. Maksudnya menggantikan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, personaliti yang sebelum ini dipersetujui Umno untuk diangkat sebagai “poster boy”.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Ada pihak percaya Zahid akan jadi perdana menteri, jika Umno-BN menang PRU15 dan kembali berkuasa memerintah negara. Namun, umum tahu Zahid masih berdepan 47 pertuduhan daripada satu lagi kes jenayah yang sedang berjalan membabitkan Yayasan Akalbudi.

Pandangan serta spekulasi itu semua tidak juga diulas pada artikel ini. Kalau semua yang ‘panas-panas’ serta ‘mengiurkan’ tidak mahu diulas, jadi apa yang mahu saya katakan menerusi artikel ini?

Jawapannya – kenyataan Zahid mengenai PRU15 pada musim banjir yang disuarakannya tempoh hari. Mungkin isu ini tidak memberahikan berbanding spekulasi yang disenarai di atas, tetapi pada saya, ia tetap penting.

Sehari dua sebelum Mahkamah Tinggi Shah Alam membuat keputusannya, seorang kenalan meluahkan pandangan menerusi celoteh kumpulan WhatsApp kami bahawa pembangkang (istilah kenalan saya “oppo” singkatan untuk “opposition”) tidak patut meneruskan serangan ke atas Zahid mengenai isu pilihan raya diadakan pada musim banjir.

Zahid, pada hemat kenalan saya itu, tidak mencadangkan PRU15 diadakan pada masa banjir. Seorang lagi kenalan mencelah – bersetuju sambil menyatakan apa yang dia faham ialah Zahid kata Umno-BN “sudah bersedia hadapi pilihan raya”.

Imbau kembali apa yang Zahid dilaporkan berkata, iaitu Umno-BN sanggup redah banjir dan hujan lebat jika PRU15 diadakan tahun ini. Terpulang tafsiran masing-masing apa yang sebenar Zahid kata atau maksudkan. Apa pun, kenyataan seperti itu memang boleh dijangka mengundang kritikan kerana banjir bukan boleh dibuat main-main, terutama kebelakangan ini banjir yang melanda negara lebih “ganas”
berbanding masa lalu. Akibat perubahan iklim, kata pakar.

Agak menarik (jika ‘menarik’ boleh digunakan dalam konteks ini) Annuar Musa, orang Umno yang dikatakan tidak sebulu dengan Zahid, terpanggil untuk menyatakan kata-kata presiden Umno “disalah tafsir”.

“Saya tolong betulkan,” kata beliau sambil menambah, “yang ditekankan presiden ialah sudah siap siaga kalau PRU15 ketika banjir sekali pun, tidak semestinya maksudnya nak adakan PRU15 walaupun banjir.”

Mengambil kira hubungan beliau dengan Zahid (dulu rapat, sekarang tidak), saya tidak dapat elak daripada bertanya (sekadar dalam hati), adakah Annuar mempertahankan presidennya atau mengumumkan presidennya sudah tersalah cakap?

Zahid bagaimanapun menegaskan kata-katanya “dimanipulasi kononnya Umno-BN tidak peduli keselamatan rakyat”. Kenyataan itu dibuat dua hari setelah diperbetulkan Annuar.

Manakala Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, pula hanya tampil tiga hari kemudian untuk meminta “semua pihak berhenti melabelkan Umno kejam, susulan cadangan mengadakan PRU15 hujung tahun ini”.

Menurut beliau, seperti dilapor FMT, Umno sebelum ini sudah merujuk agensi berkaitan mengenai keadaan cuaca, terutama sepanjang Disember, sama ada sesuai diadakan pilihan raya atau sebaliknya.

Laman web rasmi Majlis Keselamatan Negara pada 5 Sept lalu menyiarkan kenyataan Jabatan Meteorologi meramalkan “negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini yang membawa kepada banjir besar pada hujung bulan berkenaan”.

Kata MetMalaysia lagi, “monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu mengundang risiko berlaku hujan lebat berterusan dan peratusan banjir berskala besar adalah tinggi.”

Kata Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhamad Helmi Abdullah, fenomena La Nina yang masih berterusan dan dijangka sehingga awal tahun depan menyebabkan peningkatan taburan hujan.

Berdasarkan apa yang dikatakan Ahmad Maslan bahawa partinya “sudah merujuk agensi berkaitan”, bolehkah disimpulkan Umno sudah dimaklumkan akan ramalan MetMalaysia yang dikeluarkan 5 Sept lalu? Atau “agensi berkaitan” yang dirujuk Umno bukan MetMalaysia?

Apa pun, menurut laporan media, Jemaah Menteri Ismail memberi perhatian teliti terhadap cuaca ketika membincangkan soal pilihan raya. Ini sememangnya dijangka, malah langkah wajar. Dalam pada itu, pelbagai pihak – daripada pembangkang, NGO hingga rakyat yang pernah menjadi mangsa banjir – menghuraikan mengapa PRU15 tidak boleh diadakan pada waktu banjir. Tidak perlu saya ulangi kebimbangan yang diluahkan.

Zahid pula dipetik media bertanya pembangkang sama ada mereka “benar-benar takut banjir” atau takut berdepan pengundi? Respons pembangkang pula, Zahid dan partinya mahu pilihan raya diadakan pada musim banjir supaya peratusan orang keluar mengundi rendah, yang kata mereka akan menguntungkan Umno-BN.

Itu soal politik, tetapi ramai yang bertegas sekarang bukan masa berpolitik, tetapi bersiap sedia menangani banjir.

Membawa saya kepada hantaran Facebook oleh Lim Hong Siang, pengarah Saudara.org, sebuah pusat penyelidikan sosiobudaya dan agama. Bunyinya begini:

“Mengadakan pilihan raya ketika banjir mampu menarik pelancong asing. Mereka datang untuk melihat bagaimana pengundi Malaysia keluar dengan sampan, berbaris dalam air di paras yang menutup lutut dan kemudian berenang untuk memasukkan kertas undi yang dipangkah ke dalam peti undi. Adegan ini harus dirakam dan dicatat dalam sejarah pendemokrasian tamadun dunia. Haibat!”

Pastinya mendapat reaksi pembaca. Antaranya: “Boleh adakan pusat mengundi terapung yang boleh pergi rumah ke rumah, pengundi tak payah keluar rumah, duduk dalam rumah saja dapat mengundi.”

Terbaca juga satu rencana yang ditulis oleh individu bernama Lim Chee Wei, yang menggelar dirinya “anak jati Kedah”. Kata Lim, “Jika PRU berlaku pada November nanti, letaklah peti undi di atas bumbung.”

Catatan kedua-dua Lim sinis dan tajam. Rasanya kita semua faham mengapa ia dicoret. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.