KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook hari ini melancarkan perkhidmatan bas perantara percuma antara stesen Kuala Lumpur (KL) Sentral ke Parlimen yang akan beroperasi sepanjang persidangan Dewan Rakyat.
Beliau berkata perkhidmatan bas percuma itu dikendali oleh Prasarana dengan menyediakan dua bas khusus untuk ahli-ahli Parlimen, pegawai kerajaan dan petugas media ke Parlimen.
“Kita ingin memulakan perkhidmatan ini sebagai satu perkhidmatan alternatif untuk warga Parlimen datang menggunakan perkhidmatan awam.
“Tujuannya adalah untuk memastikan terdapat satu pengangkutan awam yang sampai terus ke bangunan Parlimen,” katanya semasa pelancaran bas percuma itu di bangunan Parlimen hari ini.
Dalam pada itu, Loke berkata bas perantara itu yang bermula hari ini hingga 6 April akan berhenti di tiga stesen bermula dari KL Sentral, Taman Botani dan Parlimen sebagai destinasi terakhir.
Katanya, ia akan beroperasi 7 pagi hingga 8 malam setiap Isnin hingga Jumaat.
“Kita galakkan naik bas ini berikutan sukar mendapatkan tempat parkir di bangunan Parlimen ini.
“Saya difahamkan setiap hari yang datang ke Parlimen ada 2,000 kereta. Ini beri kesan kepada warga media dan pegawai kerajaan yang bertugas di Parlimen,” katanya.
Loke berkata bas percuma ini memudahkan mereka yang ada urusan rasmi di Parlimen untuk ke bangunan Parlimen. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.