`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, February 20, 2023

Belanjawan 2023 dijangka kekal cadangan kurang cukai M40, kenaikan untuk T20

 

Kerajaan dijangka memotong cukai pendapatan 2% kepada M40 dan tambahan cukai 0.5% untuk T20 pada pembentangan Belanjawan 2023, kata CTIM.

KUALA LUMPUR: Institut Percukaian Malaysia (CTIM) berpendapat tiada cukai baharu diperkenalkan dalam pembentangan semula Bajet 2023, tetapi menjangkakan kerajaan mengekalkan potongan cukai pendapatan dua mata peratusan bagi M40 dan kenaikan cukai 0.5% untuk T20, seperti dicadangkan dalam belanjawan sebelum ini.

Presiden CTIM, Chow Chee Yen, berkata pengurangan cukai tersebut bertujuan membantu M40 dengan kenaikan kos sara hidup, selain meningkatkan pendapatan boleh guna mereka, manakala kenaikan cukai ke atas T20 adalah untuk menampung pengurangan kutipan hasil disebabkan potongan cukai.

“Fokus utama kerajaan sekarang ini adalah membantu menangani kos sara hidup dan memperbaiki kedudukan fiskal negara.

“Oleh itu, saya menjangkakan pengurangan cukai masing-masing sebanyak dua peratus serta kenaikan cukai 0.5% dikekalkan,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Di bawah Belanjawan 2023 yang dibentangkan pada 7 Okt 2022 oleh kerajaan terdahulu, cukai pendapatan bagi kumpulan pendapatan bercukai antara RM50,001 hingga RM100,000 dikurangkan sebanyak dua peratus untuk tahun taksiran 2023, daripada 13% kepada 11% bagi RM50,001-RM70,000 dan daripada 21% kepada 19% untuk RM70,001 hingga RM100,000.

Di bawah pentadbiran bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob, cukai untuk mereka berpendapatan antara RM250,001 hingga RM400,000 dinaikkan daripada 24.5% kepada 25%.

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Anwar Ibrahim, yang menggantikan Ismail selepas PRU15 pada 19 Nov 2022, akan membentangkan Belanjawan 2023 yang disemak semula, pada 24 Feb.

Chow ketika ditanya sama ada cukai karbon akan diperkenalkan dalam belanjawan akan datang, menolak kemungkinan itu sambil menjelaskan pihak berkuasa kerajaan berkaitan perlu mengkaji mekanisme penetapan harga karbon dan menetapkan kadar cukai karbon yang sesuai untuk memacu matlamat iklim negara dalam meraih pelepasan sifar bersih.

“Maklum balas juga perlu dicari daripada pihak berkepentingan supaya perkara ini dipertimbangkan sewajarnya sebelum pihak berkuasa membuat keputusan mengenai pelaksanaannya.

“Rangka kerja peralihan juga perlu diambil kira,” katanya.

Chow ketika bercakap mengenai cadangan 15% Cukai Minimum Global (GMT) menjangkakan langkah relevan akan diumumkan dalam Belanjawan 2023 tetapi pelaksanaannya akan berlangsung tidak lebih awal daripada 2024 untuk memberi masa kepada pihak berkepentingan mengemukakan maklum balas sebelum ia mula dimuktamadkan.

Jelasnya, GMT adalah sejajar dengan perkembangan cukai antarabangsa untuk memerangi ketirisan hasil termasuk aktiviti peralihan keuntungan, dan akan membolehkan Malaysia mempunyai hak pertama bagi mengenakan cukai tambah nilai ke atas hasil daripada entiti yang terletak di Malaysia yang membayar cukai di bawah ambang 15%.

Sementara itu, beliau berkata pengembalian cukai barang dan perkhidmatan (GST) tidak akan dikenakan memandangkan Anwar, baru-baru ini, menyatakan bahawa kerajaan tidak akan memperkenalkan cukai penggunaan itu secara meluas.

“GST bukan keutamaan kerajaan sekarang dalam belanjawan akan datang, ini kerana sebagai cukai penggunaan yang meluas, GST juga akan memberi kesan kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana. Ekonomi Malaysia masih dalam fasa pemulihan,” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan akan menambah lagi cukai jualan 10% yang dikenakan ke atas barangan bernilai rendah (LVG) berharga kurang daripada RM500 yang dibeli secara dalam talian mulai 1 Apr 2023 dan seterusnya, Chow menolak kemungkinan itu.

“Saya tidak menjangkakan kerajaan akan menaikkan kadar dalam belanjawan pada peringkat awal pelaksanaannya, apa lagi dalam masa terdekat kerana ia dilihat boleh membebankan rakyat,” katanya.

Beliau bagaimanapun menganggarkan kerajaan boleh mengutip kira-kira RM200 juta hingga RM300 juta setahun sebaik sahaja cukai jualan LVG dikuatkuasakan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.