`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, February 7, 2023

Culik kekasih suami, wanita dan ibu mentua ditahan polis

 

Polis berkata ibu dan isteri pengadu serta seorang lelaki tempatan berusia antara 37 hingga 52 tahun ditahan di Temerloh, Pahang dan Bandar Baru Sentul. (Gambar Freepik)

PETALING JAYA: Dua beranak ditahan polis setelah disyaki menjadi dalang penculikan seorang wanita warga Indonesia yang dikaitkan dengan kes curang, Jumaat lalu.

Suspek didakwa berpakat dengan ibunya untuk menculik teman wanita suaminya dalam kejadian di Jalan 2/3A Pusat Bandar Utara, 11.45 malam.

Ketua Polis Sentul, Beh Eng Lai, berkata ketika kejadian, teman lelaki mangsa meninggalkannya bersendirian dalam kereta dengan pintu tidak berkunci serta enjin tidak dimatikan.

Menurutnya, ada saksi melihat keretanya dilarikan seorang lelaki tidak dikenali dengan mangsa berada di dalamnya.

Kereta terbabit dilihat menghala ke Gombak dan teman lelaki mangsa berusia 34 tahun cuba menghubungi telefon bimbitnya namun gagal selepas dimatikan.

“Laporan polis kemudian dibuat pada 12.38 tengah malam, Sabtu lalu,” katanya menurut Harian Metro.

Katanya lagi, polis berjaya mengesan kereta pengadu ditinggalkan di tepi jalan berhampiran sebuah pasar raya di Rawang dan mangsa tiada dalam kenderaan itu.

“Antara jam 1.50 pagi hingga 5.30 pagi Ahad lalu, kita menangkap dua wanita iaitu ibu dan isteri pengadu serta seorang lelaki tempatan berusia antara 37 hingga 52 tahun dalam serbuan berasingan di Temerloh, Pahang dan Bandar Baru Sentul.

“Berpandukan maklumat diberikan ketiga-tiga suspek, polis berjaya menyelamatkan mangsa di Bandar Dataran Segar, Port Dickson, Negeri Sembilan pada jam 7.10 malam, hari sama,” katanya.

Katanya, mangsa berusia 26 tahun cedera ringan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan sebagai pesakit luar.

“Motif kejadian adalah berpunca daripada masalah rumah tangga. Perancang utama kejadian ini adalah ibu dan isteri pengadu yang hendak memisahkan hubungan intim antara pengadu dan mangsa.

“Ketiga-tiga suspek kini direman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 362 Kanun Keseksaan,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.