`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, February 23, 2023

Kerajaan pertimbang tambah bekalan minyak masak paket di pasaran runcit

 

Terdapat permintaan yang tinggi terhadap minyak masak paket ketika ini ekoran kenaikan harga minyak masak dalam kemasan botol, kata Salahuddin Ayub. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti tambahan jumlah kuota minyak masak paket yang kini ditetapkan sebanyak 60,000 tan atau 60 juta pek setiap bulan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub.

Menjawab pertanyaan Cha Kee Chin (PH-Rasah), Salahuddin berkata jumlah berkenaan tidak lagi dapat menampung permintaan di pasaran ketika ini.

Katanya, permintaan tinggi itu ekoran kenaikan harga minyak masak dalam kemasan botol, ditambah dengan harga minyak sawit mentah yang tinggi di pasaran pada RM4,200 ketika ini.

“Kementerian mengakui bahawa terdapat permintaan yang amat tinggi ke atas minyak masak paket bersubsidi ekoran daripada kenaikan harga minyak masak dalam kemasan botol yang mana harga minyak masak ini hanya dikawal dan tidak bersubsidi.

“Oleh demikian, kita pada masa ini sedang meneliti semula jumlah kuota yang bersesuaian untuk ditambah agar permintaan minyak masak bersubsidi dapat dipenuhi dalam masa yang singkat,” katanya di Dewan Rakyat.

Cha sebelum itu membangkitkan kesediaan kerajaan untuk menambah kuota bekalan minyak masak paket bersubsidi di pasaran runcit tempatan, agar bekalannya mencukupi.

Tambah Salahuddin, permintaan minyak masak paket ketika ini bukan saja daripada pengguna isi rumah, malah peniaga kecil dan industri mikro yang baru ingin bermula atau bangkit daripada pandemik Covid-19.

“Kita tidak boleh terlalu keras atau menguatkuasa isu ini kerana industri industri kecil dan sederhana (IKS) baru nak pulih.

“Kita terpaksa melakukan peranan timbang tara dalam keadaan cukup berhati-hati, keperluan isi rumah mesti dipenuhi tetapi permintaan dan desakan daripada golongan peniaga kecil mesti disantuni,” katanya.

Bagaimanapun, Salahuddin yang juga timbalan presiden Amanah berkata penambahan kuota minyak masak paket bersubsidi memerlukan penelitian yang rapi serta kesediaan kerajaan kerana ia memberikan implikasi kewangan besar.

“Sehubungan itu, segala faktor hendaklah diambil kira termasuk menilai semula mekanisme pemberian subsidi secara bersasar dan mekanisme harga dua peringkat bagi jualan minyak masak di pasaran sebelum keputusan mengenai penambahan kuota dapat dimuktamadkan.

“Sekiranya ianya diluluskan, mekanisme pengenalan diri hendaklah diwujudkan untuk memastikan pembelian minyak masak paket bersubsidi ini adalah pada kumpulan yang dikhaskan mengikut kuantiti yang telah ditetapkan,” katanya.

Pada 6 Dis, Salahuddin ketika mempengerusikan sesi libat urus dengan pemain industri minyak masak dan wakil Persatuan Pengilang Minyak Masak Malaysia yang turut disertai wakil Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) berkata kerajaan sedang memperincikan cadangan, polisi dan mekanisme pelaksanaan harga dua peringkat (2-tiered pricing) bagi minyak masak.

Beliau berkata, cadangan dan polisi mengenai mekanisme pelaksanaannya akan diperincikan sehingga semua aspek diambil kira. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.