Ada dua buah karya kreatif saya yang menyentuh subjek gempa bumi. Pertama, novelet Kegawatan (2010) yang memberi gambaran apa yang bakal dan boleh berlaku sekiranya Malaysia, dengan lebih khusus Kuala Lumpur dilanda gempa bumi. Manakala sebuah karya lain ialah novel-drama dengan judul Bila Tuhan Berbicara (2007).
Kegawatan itu saya karangkan sebagai siswa tahun satu dan penuh dengan bayangan ngeri bagaimana Kuala Lumpur berdepan gempa bumi dahsyat. Watak-wataknya adalah pelajar Universiti Malaya yang hidup mereka berubah sama sekali ekoran bencana tersebut. Salah seorang watak itu, yang berdepan dengan kelaparan, membunuh seorang kanak-kanak kerana berebut makanan. Memang bayangan yang saya khayalkan amat ekstrem. Demikian juga dalam Bila Tuhan Berbicara yang mana saya membayangkan bagaimana letusan gunung berapi di Indonesia mengakibatkan gempa luar biasa dan kesannya dirasai di kota Kuala Lumpur.
Ketika menuliskan kedua-dua buah karya tersebut, saya asalnya pernah membaca sebuah rencana yang saya ingat lupa siapa pengarangnya. Ia mengenai insiden gempa bumi yang menimpa kota Kuala Lumpur pada 1892. Gegaran bumi itu dilaporkan sekuat 7.7 skala richter. Ingat, gempa yang melanda Turki dan Syria baru-baru ini pada skala yang sama. Malapetaka 1892 itu berlaku kerana gempa bumi di dasar laut di kawasan gelinciran Sumatera, 350 kilometer dari Kuala Lumpur. Harus diingat tatkala itu tiada bangunan besar dan tinggi di bandaraya ini, justeru kerosakan yang dialami tidaklah signifikan. Bahkan, kemungkinan tiada pun korban atau kehilangan jiwa.
Di dalam Bila Tuhan Berbicara, saya menulis setelah membuat kajian rapi. Satu letusan gunung berapi mungkin tidak menakutkan. Bayangkan kalau berlaku lima enam letusan serentak dan letusan itu ialah letusan besar. Kita mungkin menyangkakan ia mustahil. Padahal letusan besar dengan kadar begitu pernah berlaku sekitar 74 ribu tahun lalu di Toba, Sumatera. Letusan besar dengan kadar sebegitu berlaku 50 ribu tahun sekali. Kitarannya memang sedemikian. Gempa di Turki dan Syria itu juga terjadi setelah ada kitaran telah dilengkapkan.
Terdapat dakwaan dua tiga hari ini, yang seorang pengkaji Belanda bernama Frank Hoogerbeets menjangkakan sebuah gempa bumi kuat, sekitar 7.5 bakal menimpa kawasan tengah Turki yang mungkin menjangkau Lubnan, Jordan, dan Syria. Beliau menciap ramalan itu tiga hari sebelum gempa di Turki tersebut terjadi. Terdapat kemungkinan kini korban bakal meledak ke angka 20 ke 30 ribu orang. Video di TikTok yang bersepahan menggamamkan sekali, dan memenuhi bayangan yang saya khayalkan dalam kedua-dua buah karya tersebut. Menurut Hoogerbeets, apa yang terjadi di Turki dan Syria itu pernah dialami pada tahun 115 dan 526.
Jika ramalan sedemikian boleh tidak dikesampingkan, kita juga mesti memahami yang letusan besar terakhir di alami di rantau ini 74 ribu tahun lalu. Letusan gunung berapi itu harus berlaku 50 ribu tahun sekali. Dalam erti kata lain, masa kini yang ada telah kita lepasi, atau dalam makna lain; letusan besar adalah “overdue”. Kali akhir letusan biasa (bukan yang besar) berlaku di rantau kita ini ialah pada 1883, setepatnya di Krakatoa, menyebabkan 36 ribu orang terkorban semuanya.
Oleh kerana rantau kita terdedah dengan kawah gunung berapi, perlu kita memahami ancaman dari gunung berlahar ini. Terdapat tiga letusan caldera pernah berlaku dalam tempoh 2.1 juta tahun. Ini bermakna setiap 600 ribu tahun sekali akan berlaku letusan caldera. Letusan ini bersumberkan “restless caldera” yang mana ia datang dari gunung berapi yang tidak kelihatan dengan mata kasar. Ia sentiasa bergolak di dalam bumi, menimbang, dan menimang magma santak sistem hidrotermal di bawah bumi turun naik. Letusan caldera ini boleh berlaku di Taman Negara Yellow Stone Park, benua Amerika tetapi juga di Toba, Sumatera, Indonesia.
Di dalam novel-drama Bila Tuhan Berbicara itu saya mengkhayalkan betapa seorang vulkanologis meramalkan gempa besar setelah memerhatikan banyak pohon-pohon kering, terbakar, dan mati di Toba. Ramalan beliau diperlecehkan kerana dia dianggap bapok. Padahal dia sudah melihat tanda awal, iaitu magma yang menggelegak naik. Mungkin dua atau tiga kilometer sahaja di bawah bumi sehingga pokok-pokok pun jadi mati kerana akarnya sudah hangus dibawah.
Tentu saya membayangkan kengerian apabila di bawah Toba itu ada tampungan magma. Di dalam tampungan magma itu ada campuran gas dan api. Tampungan magma itu lebarnya 40 kilometer, panjangnya 80 kilometer, dalamnya 8 kilometer, dan semua terbenam di bawah lingkaran caldera, menanti untuk dilepaskan ke luar. Saya membayangkan magma yang ada di bawah Toba ialah magma jenis yang mahu ke luar, memancut, dan mahu meletup. Memang drama pentas gila tersebut persisnya filem-filem bencana bikinan Hollywood. Tetapi ramalan tidak semestinya tinggal menjadi ramalan. Demikian juga khayalan tidak mesti diketawakan.
Apa yang mengakibatkan jumlah korban besar di Turki dan Syria ialah apabila struktur bangunan di negara-negara terbabit dipertikaikan keutuhan dan keselamatannya sedari dulu. Pakar-pakar kejuruteraan menyatakan gempa bermagnitud 7.8 itu memang sahaja boleh membaham jiwa memandangkan bangunan dan kediaman yang dibina di wilayah yang terlibat adalah infrastruktur jenis ‘penkek’. Hal ini disebut oleh profesor kejuruteraan, Jonathan Stewart dari University of California, Los Angeles yang pernah membuat kajian di Turki selepas gempa pada 1999. Beliau malah pernah memberi amaran bahawa gempa besar yang boleh berlaku akan meletakkan ribuan nyawa dalam risiko.
Sekarang, bayangkan rantau kita. Kuala Lumpur dengan gempa bumi skala richter 7.7 seperti pernah terjadi pada 1892. Atau jika berlakunya letusan gunung berapi besar ala ribuan tahun lalu yang tidak dapat ditahan di Toba. Malaysia tidak begitu jauh dari Sumatera. Sudah acap kali kita merasa-rasa gegaran yang berlaku samada di Indonesia atau Filipina. Tahun lalu sahaja kita merasainya, dan kita tidak boleh menyalahkan Sajat lagi, kerana beliau sudah berhijrah terungsi di Sydney.
Soalan kita, adakah bangunan-bangunan pejabat yang besar dan tinggi, kediaman kondominium kita yang berceracakan menggalah langit itu memang utuh dan kuat serta memenuhi standard yang ditetapkan pakar kejuruteraan. Dengan gagahnya korupsi dan rasuah serta pelbagai penyelewengan di negara ini, tidakkah mungkin ada bahan yang diganti atau tidak memadai? Ini semua pertanyaan yang relevan dan “valid” kini. Ia memang liar tetapi perlu difikirkan.
Tidakkah bayangan Kegawatan dan Bila Tuhan Berbicara itu gulana sekali. Malah, dalam ‘Kegawatan’ semua kepimpinan negara mati ketika gempa bumi. Lantas meninggalkan rakyat Malaysia kehilangan panduan dan menjadi sebuah bangsa yang gila. Bersediakah kita berdepan ujian dan dugaan seteruk itu?
Betul, mungkin karya-karya saya itu mengada-ada, tetapi ramalan tidak semestinya tinggal menjadi nujuman. Demikian juga khayalan tidak mesti digelakkan. Kiamat adalah rukun iman. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.