`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, February 9, 2023

Kod pakaian pulak dah

 

Teringat kisah lama. Zaman saya wartawan muda meliput kes jenayah. Ketika heboh polis tidak mahu menerima laporan yang dibuat orang ramai di balai yang terletak luar daripada kawasan kejadian. Ertinya polis mahu aduan dibuat di balai dalam kawasan kes yang dilapor berlaku.

Umpamanya jika kes berlaku di Kampung Baru, aduan hanya boleh dibuat sekali gus diterima polis di balai yang wilayah bidang kuasanya meliputi Kampung Baru. Oleh itu untuk kes yang berlaku di Kampung Baru, aduan mesti dibuat di Balai Polis Campbell (sekarang Dang Wangi) kerana balai itu ‘jaga’ Kampung Baru.

Alasannya salinan sesuatu aduan mesti dibawa ke balai polis yang terletaknya di kawasan kejadian untuk tindakan susulan. Contoh jika kes berlaku di Kampung Baru tetapi dilaporkan di Bukit Bintang, salinan aduan mesti dibawa pengadu ke Balai Polis Campbell jika mahu siasatan bermula cepat. Polis juga akan hantar laporan berkenaan tetapi akan makan masa.

Ads by Kiosked

Jika nak cepat hantar sendiri. Oleh itu, pada jangkaan polis waktu itu, lebih baik aduan dibuat di balai yang menjaga kawasan kejadian. Percepat proses. Lazimnya ini membabitkan kes-kes kecil.

Orang ramai merungut kerana menyukarkan. Kata mereka, polis dengan cogan kata “Sedia Berkhidmat” mesti ambil dan terima aduan di mana-mana balai walaupun kejadian di kawasan lain. Barulah sesuai dengan ‘berkhidmat untuk orang ramai’. Bising dan kecoh waktu itu. Media main isu ini sehingga seingat saya ketua polis negara terpaksa masuk campur dan mengarahkan semua balai menerima aduan orang ramai tak kira di mana kejadian berlaku. Selesai masalah. Saya kira arahan ini masih berkuatkuasa hingga ke hari ini.

Sekarang kita dengar kes seorang wanita yang mahu buat aduan dikatakan tidak dibenar masuk ke balai polis hanya kerana berseluar pendek. Bising dan kecoh hingga hari ini. Melalui surat kepada media, menerusi Tik Tok, komen di media sosial. Pelbagai macam. Oh parodi pun ada. Teruk polis ‘dibelasah’ orang ramai dan politikus tentunya.

Bekas KPN Musa Hassan terpanggil memberi pendapat. Kata beliau, tugas polis ialah terima laporan dalam apa jua situasi bukan hanya kes hidup atau mati. Menurut beliau isu pakaian bagi orang awam ke balai polis sepatutnya tidak menjadi soal kerana perkara paling utama mereka memerlukan bantuan. Ramai yang setuju dengan Musa.

“Tiada sesiapa yang akan pergi ke balai polis melainkan mereka terpaksa (untuk buat laporan) dan memerlukan bantuan,” kata beliau.

Jelas bekas KPN mengulas kenyataan KPN sekarang, Acryl Sani Abdullah, bahawa kelonggaran kod etika pemakaian bagi orang awam yang mahu membuat aduan atau sebarang urusan lain di balai polis hanya wajar diberi jika membabitkan kes kecemasan serius. Kata beliau lagi, sekiranya tidak membabitkan kes kecemasan semua pihak perlu akur pada kod etika berpakaian yang selaras dengan prinsip kelima Rukun Negara, iaitu kesopanan dan kesusilaan. Bagaimanapun beliau berkata terpulang kepada pegawai bertugas membuat keputusan berdasarkan kes dan situasi.

Ads by Kiosked

Mengambil kira kenyataan itu, bolehlah dijangka isu ini akan berterusan buat seketika lagi, atau mungkin lama lagi sebelum selesai. Masyarakat kita, termasuk saya, lazimnya suka berpakaian sempoi atau santai. Kita tak suka “over-dress”. Mungkin kerana cuaca kita panas. Oleh itu kita selesa pakai “t-shirt” dengan seluar pendek, dan berselipar. Baik lelaki mahupun wanita. Muda atau tua. Ada yang gemar berseluar jeans, namun tetap mengenakan kemeja T.

Dewasa ini banyak bos tak kisah sangat akan pakaian staf mereka. Janji mereka “perform”. Lalu ramai yang ke pejabat berpakaian sama seperti pergi jalan-jalan ke kompleks beli-belah, nonton wayang, ngopi, rilek-rilek. Bosnya pun berpakaian begitu. Mungkin dipengaruhi cara mendiang Steve Jobs dan Mark Zuckerberg berpakaian ketika bertugas atau membuat “presentation”.

Akan tetapi jabatan kerajaan ada kod pakaian khusus untuk kakitangan ketika bertugas. Begitu juga sesetengah syarikat swasta.

Biasa juga saya nampak anak muda berjeans dan berjersi kelab bola sepak kesayangan mendirikan solat. Tertera di jersi jenama penaja – kadang kala bir terkenal. Tidak mengapa. Asalkan khusyuk dan ikhlas dengan nawaitu betul. Bukan pakaian yang dipandang Tuhan. Asalkan bersih dan tutup aurat.

Biasa juga saya lihat tetamu majlis perkahwinan datang berpakaian “simple” yakni jeans, jersi bola, kemeja T, seluar pendek pun kadangkala ada meskipun hos dan tentulah pasangan pengantin berpakaian formal. Begitu juga pada majlis perkahwinan Melayu. Ada tetamu datang begitu “simple” meskipun tuan rumah berbaju Melayu lengkap, siap bersampin. Namun pada majlis itu lazimnya ramai wanita datang berpakaian tradisional sesuai dengan majlis. Syabas. Bagi saya cara tetamu berpakaian melambangkan rasa hormat kepada tuan rumah.

Beberapa minggu lalu bising dan kecoh juga pasal “trailer” filem Pulau. Bukan saja pasal aksi panas tetapi juga pemakaian beberapa watak di tepi pantai. Bagi saya pakaian yang dipaparkan ialah pakaian lazim orang di tepi pantai atau kolam renang.

Ads by Kiosked

Apabila Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri beliau muncul tanpa bertali leher walaupun semasa bertugas dan menerima kunjungan tetamu. Beliau sekadar berkemeja dan memakai jaket. Serta-merta semua menteri, timbalan menteri, dan pegawai kanan kerajaan berpakaian seperti itu. “No ties”. Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, juga melonggarkan kod pakaian untuk sidang Parlimen. Pakai kemeja, jaket. Tanpa tali leher. Memadai.

Semasa saya menulis artikel ini saya baharu terbaca laporan Adun Mengkibol, Chew Chong Sin, mahu perdana menteri melonggarkan etika pakaian buat pelawat di jabatan-jabatan kerajaan. Macam-macam hal PM diminta masuk campur.

Beginilah. Kita pakai apa yang kita rasa “we look good in”. Pakai apa yang kita senang dan selesa. Tetapi rasanya kita tahu nak pakai apa, di mana, dan mengapa pakai apa kita pakai. Rata-rata kita tahu cara berpakaian ke majlis rasmi, ziarah waktu kesedihan, apabila diundang ke Istana, pergi menonton dan beriadah, dan sebagainya.

Tetapi dalam keadaan kecemasan, kita bergegas ke balai polis atau hospital dengan pakaian yang kita pakai waktu itu. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.