`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, February 7, 2023

Mana bukti DAP, PKR belanja lebih pada PRU15, soal bendahari

 

Bendahari DAP Fong Kui berkata partinya dan PKR tidak akan melayan tuntutan bahawa berbelanja lebih pada PRU15 selagi tiada bukti dikemukakan.

PETALING JAYA: DAP menyifatkan desakan agar partinya dan PKR mendedahkan penyata kewangan sebagai “membuang masa”, sambil mencabar dakwaan bahawa mereka berbelanja besar pada PRU15 dibuktikan terlebih dahulu.

Bendahari DAP Fong Kui Lun berkata demikian sebagai mengulas gesaan bekas pembantu Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad, agar parti itu dan PKR mendedahkan akaun masing-masing susulan pembekuan akaun Bersatu sejak 1 Feb.

Fong berkata, kedua-dua partinya dan PKR tidak akan melayan tuntutan itu.

“Bagi bukti dulu, cakap saja tak ada guna. Kalau Bersatu ada bukti yang kita belanja lebih daripada peruntukan SPR tetapkan, baru kita akan keluarkan akaun penyata.

“Buang masa sahaja layan, saya cabar mereka untuk bagi bukti,” katanya, menurut Utusan Malaysia.

Minggu lepas, sumber parti mendedahkan bahawa akaun Bersatu telah dibekukan oleh SPRM mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram.

Perkara ini turut disahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Difahamkan, pembekuan akaun tersebut ada kaitan dengan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan berbilion ringgit untuk pakej rangsangan Covid-19.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebelum ini menafikan dakwaan berlakunya penyelewengan dana RM92.5 bilion dalam pentadbirannya.

Pada 3 Feb, Marzuki berkata, SPRM wajar menyiasat perbelanjaan pilihan raya PKR dan DAP yang didakwa melibatkan jumlah besar.

“Lihat sahaja jumlah bendera, poster, pentas ceramah, lori bergerak, sistem audio, iklan, billboard besar dan kecil, kempen di media sosial dan lain-lain.

“Ini tidak termasuk bayaran sewa jet dan helikopter untuk kegunaan Anwar (Ibrahim) sendiri ketika berkempen, juga kos-kos lain yang melibatkan kerja-kerja jentera parti,” katanya di Facebook.

Sebelum itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, SPRM bebas menyemak akaun mana-mana parti, termasuk melakukan siasatan.

“Kalau SPRM dapat laporan dan siasat, saya tidak ada masalah …dan akaun-akaun itu diaudit dihantar kepada JPPM (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia) mengikut jadual ditetapkan,” kata Anwar, yang juga presiden PKR. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.