`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, February 13, 2023

Mari bertenang dan melihat alam

 

Sesiapa pun kita, ketika membaca tulisan ini mari kita lakukan sejenak sesuatu yang hampir tidak kita lakukan sejak dua menjak ini iaitu ayuhlah kita bertenang sebentar. Jika sekarang anda berada di rumah atau mungkin di pejabat, mari kita luangkan masa sebentar di luar sambil memerhatikan sekeliling. Cuba kita lihat pokok-pokok, tanam-tanaman atau tumbuh-tumbuhan yang berdekatan kita dan kemudian cuba namakannya. Boleh? Dalam perjalanan ke tempat kerja cuba lihat pokok-pokok di sepanjang jalan. Bolehkah kita kenal sepuluh jenis pokok yang kita nampak? Jika boleh, syabas. Jika gagal, nampaknya kita sudah jauh dengan spesies penghuni alam yang lain selain manusia, spesies yang sedar tak sedar lebih banyak “membantu” dalam hidup kita seharian. “Merekalah” yang membekalkan oksigen untuk kita bernafas.

Minggu lepas saya balik kampung. Dalam perjalanan menuju ke kampung saya menikmati pemandangan di kiri dan kanan jalan. Ini sekali gus mengimbau kenangan zaman kanak-kanak saya ketika berbasikal bersama kawan pergi mandi sungai atau bekas lombong, mengikut abang menjebak burung dan menjaring puyuh. Saya tidak minat memancing tetapi itu tidak menghalang saya daripada menyertai rakan sebaya pergi mengail, memasang jaring dan menebar jala. Saya kenal pacat dan lintah dan sehingga sekarang saya tidak geli dengannya. Diketik tungau ketika kanak-kanak itu biasa. Kita tahu apa penawar, apa petua. Memanjat pokok, membaling buah kami buat.

Apa yang membuat saya sugul ketika memandu sambil melihat sekeliling itu ialah ada bukit yang pernah kami panjat sudah tidak wujud lagi. Sudah rata dek projek taman perumahan. Ke manalah larinya haiwan-haiwan dan spesies serangga di situ agaknya? Bayangkan sebuah bukit boleh hilang? Anak sungai yang dahulunya boleh didengar bunyi ia mengalir dek kerana lancarnya saliran kini tersekat-sekat. Bunyi ngauman enjin kenderaan di jalan raya membisukan bunyi terjunan air ini. Sedih. Ada juga hutan belukar yang kami masuk sudah botak. Di manakah unggas, kera, lotong, rerama, kumbang dan segala spesies paku-pakis menghilang? Ini bukan ayat-ayat indah cerpen sastera saya di layar telefon pintar anda. Ini gambaran sebenar di dunia nyata hadapan mata kita hari ini. Semua yang digambarkan tadi sedang perlahan-lahan hilang menuju kepupusan. Untuk memudahkan anda faham, segala semua ini sedang “move to recycle bin”. Kita tidak akan dapat semula “files” ini selepas pihak-pihak yang memusnahkan semua ini atas nama kemajuan menekan butang “permanently delete”. Dapat? Faham?

Untuk itu saya berpandangan kita semua mesti kembali bertenang. Kita mesti perlahankan kemajuan fizikal dan kembali berkenalan semula dengan alam. Kita wajar mengajak generasi hari ini mengenal semula pokok dan tumbuh-tumbuhan. Sebelum mereka hilang semua ini kitalah yang harus memulakan kembali. Ingat semula memori indah yang mahal ini. Terlalu banyak kita dah lupa. Jenis pokok, jenis burung, jenis ikan di sungai. Pentingkah untuk kita kenali semua ini? Penting. Kita wajib mengingati diri kita bahawa bukit, hutan, sungai dan gunung adalah kawan kita yang sama-sama hidup di dunia ini dengan peranan dan tugas masing-masing. Kita mungkin hafal teori ekonomi, falsafah politik, surah dan hadis. Semua itu mungkin sekali kita petik sahaja, segalanya lancar keluar dari mulut kita.

Hebat kita berpidato dan berbahas. Tetapi jika kita tersesat di dalam hutan, kita lebih jahil daripada seorang budak kampung di sebuah pedalaman yang keciciran pendidikan di mana dia tahu mana jalan keluar dengan tanpa membaca kompas. Dengan hanya melihat aliran sungai atau mencium jejak dan ranting patah, dia boleh mencari arah untuk pulang. Jika kita yang handal bergelar sarjana dengan sijil bergulung-gulung terkandas dalam bot di tengah laut, kita lebih bodoh daripada seorang nelayan yang tahu membaca warna air, tahu waktu bila hendak bergerak dengan berpandukan riak gelombang air. Maknanya kita yang pakar pada satu bidang rupa-rupanya sangat bodoh dalam beribu bidang lain. Sebab itu kita kena bertenang. Setiap hari kita amat sibuk mengejar entah apa-apa sehingga kita lupa kehadiran alam semulajadi yang tidak pernah lari daripada kita.

“Bang! Jom kita pergi tenang-tenang di taman rekreasi puncak bukit sana tu petang ni. Cantik tempat tu,” saran kawan saya ketika saya sudah sampai di kampung dan melepak di warung berjumpa teman-teman lama.

Saya setuju. Petang itu kami ke tempat yang dimaksudkan dengan penuh harapan tetapi…saya kembali sedih. Memang tempat itu cantik, telah dimajukan oleh pemaju menjadi sebuah taman rekreasi dan tempat beriadah tetapi ia bukan semulajadi yang sebenar. Ia tempat yang dibuat-buat! Indahkah kalau atas bukit tersebut yang dahulunya kaya dengan tumbuh-tumbuhan telah ditebang kemudian dibuat taman dengan berbagai alat permainan dan trek? Ada aliran air dan kolam tetapi ia bukan asli, ia hanya buatan. Apa salahnya kalau tempat rekreasi itu dibuat tetapi keaslian dikekalkan? Mengapa ada pihak berasa terliur dan terangsang nafsunya untuk memperkosa apabila melihat hutan-hutan masih dara?

Kita sudah terlalu melampau. Kerajaan wajar menenangkan pihak yang gian memperkosa alam ini dengan dasar dan undang-undang yang ketat. Kita mesti kembali semula kepada kesemulajadian. Semakin kita jauh dengan alam dan memutuskan perhubungan dengannya semakinlah hidup kita kacau-bilau. Dalam mengejar kemajuan, membina rumah dan bangunan – kehijauan alam, kejernihan sungai mesti kekal dipelihara. Sungai yang sudah tercemar sama ada di desa apatah lagi di bandar harus dipulihara, dirawat dan dijernihkan semula. Mari kita bertenang. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.