PETALING JAYA: Akar umbi Umno perlu berlapang dada menerima kehadiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH), termasuk 18 presiden parti kerajaan perpaduan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023 Khamis ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Ahmad Maslan, berkata ahli parti tidak perlu terpengaruh dengan hasrat sesetengah pihak enggan hadir persidangan, sebaliknya menerima dinamika politik baharu yang memerlukan keterbukaan minda.
Katanya, langkah menjemput semua pemimpin tertinggi parti membentuk kerajaan perpaduan adalah sebagai persediaan menjelang PRN di enam negeri.
“Ahli parti kena berlapang dada (dengan kehadiran Anwar). Dalam satu gabungan begini kita perlu menerima kehadiran pimpinan parti politik gabungan.
“Apatah lagi kita seangkatan dan perlu berhadapan perang politik yang lebih besar iaitu enam PRN tidak lama lagi, maka persediaan serta perpaduan yang lebih jitu perlu ada,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Veteran Umno Johor di Bangunan Umno Johor, Johor Bahru.
Jumaat lalu, PAU 2023 dilaporkan akan mencatat sejarah apabila dijangka dihadiri Anwar sebagai tetamu kehormat.
Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, dilaporkan berkata perdana menteri dijadual hadir pada acara pembukaan PAU 2023 pada Khamis.
Ini adalah kali pertama Anwar menghadiri PAU selepas dipecat daripada parti itu pada 1998. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.