PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) mengakui yang mereka sememangnya mengharapkan ‘sesuatu’ daripada bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memandangkan setakat ini beliau masih belum mempunyai platform untuk meneruskan perjuangan politiknya.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata bagaimanapun sehingga kini Khairy masih belum membuat apa-apa keputusan tetapi memaklumkan memilih untuk bersama dengan PN.
“Setakat ini dia belum putus lagi di mana dia nak pergi, tapi dia tetap bersama dengan kita (PN). Ada pertemuan Tan Sri Muhyiddin Yassin (presiden Bersatu) dengan Khairy dan pimpinan kita pun ada jumpa.
“Terbaharu dalam bulan ini dah ada perjumpaan dan kita juga difahamkan yang dia (Khairy) akan tetap jadi pengundi di Negeri Sembilan. Itu perkembangan yang baiklah,” katanya, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat di Seremban semalam.
Takiyuddin berkata, PN adalah platform politik yang paling sesuai untuk Khairy meneruskan perjuangan politiknya.
“Sebagai seorang pimpinan kanan dalam sebuah parti yang besar dan tiba-tiba dipecat, sudah tentu dia(Khairy) perlukan satu platform yang sesuai dan pada masa ini hanya PN yang sesuai untuk dia,”katanya.
Sebelum ini media melaporkan, Khairy memaklumkan akan bertemu dengan Muhyiddin pada minggu depan.
Tanpa mendedahkan secara terperinci, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau berkata, pertemuan tersebut bagi memberikan keputusan muktamad beliau, dipercayai mengenai tawaran menyertai parti itu. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.