PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti isu ketidakhadiran 14,858 atau 3.8% daripada 388,832 calon baharu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 menduduki peperiksaan itu.
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya sedang meneliti data itu sekali gus mencari mekanisme sewajarnya bagi menyelesaikan masalah tersebut.
Katanya, terdapat banyak faktor dan punca yang mengakibatkan pelajar terlibat tidak hadir menduduki peperiksaan SPM tahun lalu.
“KPM sedang meneliti faktor-faktor ini supaya kita dapat kenal pasti dan membuat intervensi yang sewajarnya untuk memastikan kehadiran itu lebih baik pada tahun-tahun akan datang.
“Saya fikir banyak faktor dan ia pastilah faktor yang begitu mendesak sehingga dia (calon SPM) tidak dapat hadir untuk mengambil peperiksaan tersebut. Jadi, ia perlukan penelitian,” katanya lapor Sinar Harian.
Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas lawatan ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Keat Hwa di Jalan Kuala Kedah dekat Alor Setar.
Fadhlina berkata, beliau berharap kementeriannya diberi masa untuk meneliti perkara berkenaan, sekali gus membuat intervensi sewajarnya bagi menyelesaikan isu ketidakhadiran calon SPM terbabit.
Mengulas kebimbangan banyak pihak susulan peningkatan jumlah ketidakhadiran calon SPM 2022 berbanding SPM 2021 Fadhlina berkata, ia bergantung kepada hasil penelitian yang diperoleh selepas ini.
“Calon kita ini pelbagai, ada calon bukan sahaja di bawah sekolah KPM, ada juga calon-calon persendirian dan sebagainya. Jadi, kita perlukan pecahan yang lebih teliti untuk pastikan kenapa ia berlaku,”katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, jumlah calon layak dapat sijil SPM tahun ini meningkat dengan lebih 90% berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Fadhlina turut mengulangi kenyataan bahawa KPM sama sekali tidak pernah mengeluarkan sebarang ranking sekolah terbaik SPM 2022, malah menyifatkan tiada keperluan mengumumkan ranking berkenaan.
Media hari ini melaporkan seramai 14,858 atau 3.8% daripada 388,832 calon baharu SPM 2022 dan mendaftar kali pertama sekurang-kurangnya enam mata pelajaran tidak hadir menduduki peperiksaan itu.
Berdasarkan analisis KPM, calon tidak hadir peperiksaan tahun lepas bertambah berbanding calon SPM 2021 yang merekodkan 10,681 atau 2.7% calon tidak hadir daripada keseluruhan 392,837 calon berdaftar. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.