PUTRAJAYA: Dakwaan terdapat dua individu yang memiliki nombor kad pengenalan sama didapati tular kembali menerusi media sosial dan aplikasi WhatsApp, sedangkan kes itu berlaku pada 2020 dan sudah lama selesai.
Menurut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), pemilik MyKad itu masih lagi memegang nombor kad pengenalan berkenaan serta masih berdaftar sebagai pemilih.
“Siasatan ketika itu mendapati kekeliruan yang berlaku adalah disebabkan terdapat kesilapan semasa proses mendaftarkan nombor telefon dengan pihak syarikat telekomunikasi, dan kedua-dua individu tersebut didapati memiliki nombor kad pengenalan yang berbeza dalam sistem JPN,” menurut kenyataan itu.
JPN memaklumkan warganegara Malaysia hanya akan diberikan dengan satu nombor kad pengenalan 12 digit yang unik dan nombor berkenaan dijana oleh sistem menggunakan formula tertentu.
“JPN tidak pernah mengeluarkan nombor kad pengenalan yang sama kepada individu berbeza,” jelas jabatan itu yang menegaskan tindakan undang-undang boleh diambil bagi penyebaran maklumat yang tidak benar.
Sebelum ini, tular perkongsian seorang individu menerusi media sosial tentang isu kad pengenalan anaknya tidak boleh digunakan bagi penukaran talian Digi ke Celcom kerana didapati sama dengan individu lain. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.