PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak perempuan warga Myanmar, dipercayai diupah sebagai jurujual barangan runcit diselamatkan dalam operasi oleh Jabatan Imigresen di Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda, Kajang, semalam.
Operasi itu dijalankan Unit Risik Operasi Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Atipsom) dan Pencegahan Pengubahan Wang Haram (Amla) bersama Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, dengan kekuatan 11 orang pegawai.
“Operasi menyelamat kanak-kanak disyaki mangsa ini dilaksanakan hasil aduan orang awam,” kata Jabatan Imigresen.
“Majikan, seorang warganegara Malaysia turut dipanggil untuk diambil keterangan.”
Menurut Jabatan Imigresen, kanak-kanak itu memegang kad pelarian UNHCR.
Kes disiasat bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, dan jika sabit kesalahan, memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan sebat.
Jabatan Imigresen turut mengalu-alukan orang ramai untuk menyalurkan sebarang aduan berkaitan aktiviti pemerdagangan orang kepadanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.