`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, June 14, 2023

Khairy Jamaluddin di persimpangan

 

Pada 10 Jun lalu, Khairy Jamaluddin dipetik media berkata beliau akan berjumpa dengan Muhyiddin Yassin “minggu depan” mengenai pelawaan presiden Bersatu kepada beliau menyertai parti pimpinannya.

Dikira daripada tarikh 10 Jun ertinya “minggu depan” yang Khairy katakan itu ialah minggu ini. Mungkin sehari dua lagi pertemuan akan diadakan. Waullahualam. Sehingga artikel ini ditulis tiada perkembangan.

Saya bukan tukang tilik lantas tidak boleh ‘tengok’ apa keputusan Khairy yang lebih dikenali KJ. Namun jika beliau menolak pelawaan Mhuyiddin boleh saja utus surat atau keluarkan kenyataan media. Buat apa nak berjumpa face to face kalau sekadar untuk kata “maaf saya tak nak, terima kasih”?

Tetapi itu dilihat kurang manis atau kurang ajar apatah lagi Muhyiddin mempelawa beliau secara terbuka untuk dilapor media secara meluas. Oleh itu, pada pandangan saya KJ mahu bersemuka atas rasa hormat kepada politikus veteran yang pernah menjadi bosnya – dalam kerajaan yang ditubuhkan hasil Langkah Sheraton.

Bagaimanapun mungkin juga pertemuan diadakan untuk membolehkan Khairy buat tawar-menawar agar dapat deal yang paling baik untuknya sebelum menerima pelawaan Muhyiddin, atau sebagai syarat menerima pelawaaan. Khairy tahu nilainya untuk Bersatu dan Perikatan Nasional.

“KJ kena decide now or never. Dia ini very calculative dalam setiap langkahnya. Elok dia berterus-terang dengan Muhyiddin. Jawatan mesti menteri besar. Kawasan (untuk bertanding) seelok-eloknya di Negeri Sembilan,” kata seorang bekas aktivis Umno yang rapat dengan Khairy.

Kehadiran Khairy dalam PN menguntungkan gabungan berkenaan berdasarkan prestasinya semasa menjadi menteri dulu serta imej yang dibawa, tetapi tidak dinafikan Bersatu seperti Umno ada warlord yang tidak senang dengan adanya Khairy dalam kalangan mereka. Tetapi demi menumpaskan common enemy, mereka akan ambil sikap bertolak-ansur. Buat waktu ini.

Apa pun jika Khairy menyertai Bersatu bagaimana agaknya imej yang ditonjolkan beliau selama ini, yakni sebagai ahli politik moderate? Saya tidak menggunakan label liberal kerana orang Melayu sejak akhir-akhir ini “diajar” oleh golongan tertentu untuk menganggap liberal satu perkataan kotor walaupun jika dilihat dengan luas ia bukan sedemikian. Selain moderate, Khairy juga dilihat ramai sebagai inclusive dan forward-looking yang menyenangkan rakyat pelbagai kaum.

Kita tahu Bersatu ada DNA Umno tetapi parti itu disifatkan ramai sebagai lebih ekstreme, lebih konservatif, dan keterlaluan – semua ciri itu mempunyai konotasi negatif.

PAS pula selaku big brother dalam PN semua maklum bukan peminat Khairy. Semua orang tahu cara pemikiran Khairy dengan pemimpin PAS berbeza dan Khairy kerap mengkritik keras cara PAS berpolitik menggunakan agama. Namun saya rasa apabila Muhyiddin membuat tawaran kepada Khairy, ia sudah dibincangkan dengan Hadi Awang. Tak mungkin rancangan Muhyiddin diteruskan jika Hadi tak beri lampu hijau.

Maksudnya bersetuju demi kepentingan PN, buat masa ini – tiga perkataan kunci dalam konteks ini. Selepas itu apa sahaja boleh terjadi atau dalam lain perkataan PAS dan Bersatu boleh melakukan apa sahaja terhadap Khairy.

Khairy sebagai seorang yang pintar tahu ini semua lantas pasti mahu pakej terbaik daripada Muhyiddin agar kedudukannya selamat, selesa, dan tidak boleh diganggu-gugat.

Tetapi ada satu lagi pilihan buat Khairy seperti yang beliau beritahu media beberapa minggu lalu. Kata KJ, beliau sedang memikirkan kemungkinan menubuhkan parti politik sendiri. Pasti parti sendiri tidak akan undang masalah seperti jika menyertai parti sedia ada. Tidak perlu bimbang tikam belakang contohnya.

Dalam parti sendiri semua dijangka berjalan lancar, sekurangnya-kurang pada peringkat awal. Khairy boleh jadi presiden dan atur segala gerak parti. Cuma untuk menang pilihan raya secara sendirian memang sukar. Kalau boleh pun akan ambil masa panjang, padahal tujuan menang pilihan raya ialah membawa perubahan kepada negara. Khairy walaupun masih muda tidak punya masa untuk tunggu lama-lama.

Parti baharu ciptaan sendiri akan tonjolkan kewibawaan Khairy seorang. Umum tahu beliau agak karismatik. Lihat sahaja klip video menerusi TikTok, rancangan radio Hot FM, dan podcast Keluar Sekejap. Tetapi lihat juga Syed Saddiq dan Muda pimpinannya. Beliau juga karismatik dan hebat termasuk di TikTok. Namun ketika Syed Saddiq dilihat berjaya, partinya tidak begitu setakat ini.

Apabila hanya pemimpin yang berjaya tetapi parti tidak, nak menang pilihan raya boleh dikatakan mustahil. Perubahan yang mahu dibawa untuk rakyat akan tinggal cita-cita atau impian kerana perubahan yang mahu dibawa hanya boleh cuba dicapai jika berjaya membentuk kerajaan. Tidak ada gandingan politik yang mahu menjalin kerjasama dengan parti picisan yang hanya seorang pemimpinnya kuat.

Khairy tidak banyak pilihan. Untuk menyertai semula Umno amat sukar walaupun Presiden Zahid Hamidi pada perhimpunan agung baru-baru ini menegaskan Umno sentiasa terbuka menerima ahli yang dikenakan tindakan disiplin termasuk mereka yang digantung keahlian dan dipecat. Antara yang mempertikai keikhlasan kata-kata Zahid ialah bekas naib presiden Hishamuddin Hussein yang digantung keahlian selama enam tahun.

Mungkin Khairy boleh menyertai PKR, tetapi mungkin juga Umno selaku senior partner dalam kerajaan perpaduan akan bermasam muka.

“Tiada pilihan. Kecuali jika nak cuba DAP bolehlah,” kata bekas aktivis Umno yang rapat dengan Khairy yang dipetik pada awal artikel ini. Jika saya boleh menambah, boleh juga cuba Amanah selain DAP. Tetapi sekali lagi Umno mungkin akan bengkak hati berdasarkan pendirian ‘musuh aku musuh kau juga’?

Jadi satu-satunya pilihan yang KJ ada barangkali cuba get the best possible deal daripada Muhyiddin dan hadapi sebarang kemungkinan selepas itu. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.