`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, June 15, 2023

Program lawat rumah ibadah diadakan pada waktu yang salah, kata Anwar

 

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak boleh membenarkan isu seperti ini disalahgunakan atau dieksploitasi oleh pembangkang yang terdesak untuk melakukannya.

PETALING JAYA: Program Kementerian Belia dan Sukan yang kini dibatalkan untuk menggalakkan orang dari agama lain mengunjungi tempat ibadah lain mungkin dilihat tidak bijak kerana diadakan pada masa yang salah, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Program itu tidak semestinya sesuatu yang bijak.

“Kenapa perlu pergi dan membangkitkan perasaan orang secara tidak perlu? Saya pergi ke gereja, dan itu bukanlah satu isu.

Ads by Kiosked

“Adalah penting agar perdana menteri boleh menghadiri (acara di tempat ibadah lain). Saya juga menghadiri perayaan Hindu di kuil-kuil. Itu juga bukanlah satu isu.

“Tetapi pada masa ketika orang sedikit bimbang, tidak hanya di Malaysia, malah lebih teruk di Eropah pada hari ini dan dalam kalangan sebahagian golongan sayap kanan di Amerika Syarikat, saya rasa kita harus lebih berhati-hati.

“Kita tidak boleh membenarkan isu seperti ini disalahgunakan atau dieksploitasi oleh pembangkang yang terdesak untuk melakukannya,” katanya kepada Al Jazeera English.

Wawancara penuh dikeluarkan hari ini.

Anwar berkata demikian ketika ditanya mengapa program yang dicadangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang dibatalkan dan agensi penyiaran itu berkata ia bertentangan dengan perjuangan beliau untuk hak yang sama bagi semua.

Anwar juga menyatakan bahawa kedudukan istimewa Melayu dan Islam, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, harus diterima sebagai satu realiti.

Ads by Kiosked

“Apa yang dilarang, tentunya, adalah menggunakan hak istimewa itu untuk mendiskriminasikan dan merendahkan yang lain. Itu bertentangan dengan idea kesaksamaan tulen bagi semua kaum dan untuk semua orang.”

Beliau menambah, “Saya bersyukur kerana dilahirkan sebagai seorang Islam. Saya berpuasa, saya solat. Tetapi mengapa ia perlu dilihat sebagai satu perkara yang memecahbelahkan kecuali jika anda mengambil dasar, atau dalam retorik anda, berkata sesuatu yang berterusan menyerang atau mendiskriminasikan – sesuatu yang tidak akan saya lakukan.

“Dan dalam pentadbiran ini, kami dengan jelas menyatakan bahawa kami akan melindungi kesucian kepercayaan kami, agama kami… kita adalah rakyat Malaysia.”

Anwar juga mengkritik pembangkang kerana terus berpura-pura apabila berbicara tentang perpaduan kerana mereka adalah parti Melayu yang bercakap tentang dasar-dasar Melayu dan menggunakan setiap kesempatan untuk menyerang kerajaan perpaduan sebagai kerajaan pelbagai kaum dan liberal.

Ketika ditanya adakah beliau bimang dengan peningkatan Islam konservatif di Malaysia, perdana menteri berkata ia adalah fenomena universal di kebanyakan negara Islam. Beliau berkata rakyat Malaysia harus mengendalikannya dengan bijak.

“Kita harus jujur dalam hal ini. Saya menentang banyak hujah ini, malah di Parlimen,” katanya.

Ads by Kiosked

Ahli politik billionaire bersatu

Anwar berkata beliau tidak terganggu dengan desas-desus yang berterusan mengenai Ahli Parlimen yang bertukar pihak untuk menggugat pentadbirannya.

“Beberapa kuasa yang paling korup, anda tahu, ahli politik elit di negara ini, mereka bersatu dengan berbilion dana dalam simpanan.

“Tetapi sekarang saya berkuasa, dalam kedudukan (sebagai PM), saya tidak duduk diam. Saya akan melawan mereka jika mereka ingin mendapatkan sokongan dengan membeli orang, dengan memberi rasuah kepada orang untuk melindungi kepentingan mereka.

“Mereka salah tafsir jika fikir saya akan goyah. Tidak, saya hanya bertekad untuk membersihkan negara dari penyalahgunaan dan rasuah,” katanya.

Anwar menegaskan bahawa kerajaannya stabil pada masa ini kerana beliau mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen, dan menambah bahaw pembangkang menggunakan taktik ini kerana sikap tegasnya menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.