Pemimpin PSM S Arutchelvan akui kerjasama dengan PH boleh tarik pengundi manakala Ainie Haziqah Shafi berkata Muda sedia berbincang dengan parti bawa dasar progresif.

Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan mengakui kegagalan hubungan PSM dan Muda dengan PH sebelum ini mungkin menyebabkan ahlinya kurang bersetuju dengan kerjasama itu, selaras dengan ketetapan kongres parti terdahulu.
Namun, beliau tidak menolak kemungkinan pendirian itu dinilai semula berdasarkan perkembangan dan penjajaran politik baharu.
Menurutnya, PSM lebih mengutamakan pembentukan sebuah blok progresif untuk jangka panjang supaya rakyat tidak terus terperangkap dengan gabungan politik yang hanya diwujudkan ketika pilihan raya.
“Bagi PSM, kami lebih merasakan perlunya satu blok progresif untuk jangka masa panjang supaya rakyat tidak tertipu dan naratif progresif yang bukan perkauman benar-benar dihayati, bukan semasa PRU atau PRN sahaja,” ujarnya.
Beliau mengulas cadangan penganalisis politik Tajuddin Rasdi supaya PH membentuk membentuk gabungan longgar dengan semua parti berfikiran progresif seperti Muda, Parti Bersama Malaysia (Bersama), PSM dan parti tidak menjadikan kaum atau agama sebagai asas utama ideologinya.
Tajuddin berpandangan langkah itu akan menunjukkan kepada rakyat bahawa PH benar-benar mahu membawa politik progresif dan negara ke hadapan.
Tulisan beliau itu menyusul kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang menguasai 25 daripada 36 DUN pada PRN Negeri Sembilan, Sabtu lalu.
Bagaimanapun, PH dan BN bekerjasama dalam kerajaan perpaduan diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Arutchelvan mengakui kerjasama berkenaan berpotensi menarik lebih banyak sokongan pengundi, tetapi PSM perlu mempertimbangkan kompromi yang mungkin terpaksa dibuat apabila bergabung dengan parti lain.
“Parti perlu membuat pertimbangan yang wajar dan munasabah supaya matlamat penyatuan tidak memparahkan perjuangan serta aspirasi parti,” tambahnya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Muda Ainie Haziqah Shafii menggesa parti progresif mengetepikan perbezaan dan duduk semeja bagi membincangkan kerjasama menjelang PRU16.
Beliau menegaskan Muda bersedia mengadakan rundingan dengan mana-mana parti termasuk PH yang berkongsi idea dan dasar progresif.
“Muda bersedia untuk mengadakan rundingan dengan mana-mana parti yang membawa idea dan dasar progresif.
“Prinsip asas Muda adalah politik di negara ini tidak boleh dipecahkan melalui sentimen perkauman dan dominasi mana-mana elit politik yang tidak mementingkan kesejahteraan rakyat,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.