`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Monday, March 18, 2013

AWAS! KAD PALSU AHLI PSBS DIJUAL




LAPOR....Sebahagian AJK Persatuan tersebut yang mengiringi Dayang Aisyah membuat laporan polis.

Oleh : SHAIMON S JUMADI
SANDAKAN: Persatuan Suluk Bersatu Sabah (PSBS) telah membuat laporan di Balai Polis Bandar di sini bagi membersihkan nama PSBS ekoran perbuatan segelintir pihak yang dikatakan mengeluarkan kad keahlian dengan mengaitkan nama PSBS untuk kepentingan diri sendiri.

Naib Presiden PSBS, Hajah Dayang Aisyah Datu Bachtiyal, berkata pihaknya tidak pernah mengeluarkan kad keahlian kepada ahli-ahli; malahan menjadi ahli kepada persatuan berkenaan pun adalah secara percuma.
Sehubungan dengan itu, beliau mahu pihak berkuasa keselamatan menyiasat perkara ini memandangkan kesan akibat mengaitkan nama PSBS hanya akan memburukkan nama persatuan mereka sedangkan ia adalah perbuatan pihak tidak bertanggungjawab.

"Kita tidak senang selepas dimaklumkan seorang ahli Majlis Tertinggi PSBS bahawa ada seorang wanita yang tinggal di Kampung Forest serta tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri menggunakan kad ahli tetapi menggunakan nama yang agak berbeza iaitu 'Persatuan Bumiputera Suluk Malaysia'.

"Kita difahamkan bahawa kad ini telah diperolehi dari seseorang pada awal tahun ini dan memberi jaminan bahawa sekiranya mempunyai kad berkenaan maka pihak berkuasa tidak akan menangkap mereka.

"Oleh yang demikian, pihak berkuasa keselamatan dapat menjalankan siasatan mengenai perkara ini kerana melibatkan orang-perseorangan yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah. Kami tidak senang dan kesal apabila nama persatuan kami iaitu PSBS turut dikaitkan, sebab itu laporan polis dibuat kerana bimbang isu ini akan memburukkan lagi nama persatuan kami dan mengancam keselamatan negara," jelas Hajah Dayang Aisyah kepada pemberita kelmarin.

Dalam pada itu, beliau berkata PSBS dan persatuan terbabit adalah dua nama persatuan Suluk yang berbeza samada persatuan itu wujud atau pun tidak, hanya Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang boleh menentukannya.

Namun demikian, ujarnya, pihak PSBS kesal di tengah-tengah konflik yang berlaku sekarang ini, timbul pula segelintir pihak yang mengaitkan nama PSBS kononnya bila menggunakan kad itu akan terlepas dari ditangkap.

Hajah Dayang Aisyah mahu pihak berkuasa segera menjalankan siasatan rapi kerana menurut maklumat tertentu, kemungkinan kad keahlian itu akan sampai ke Kampung Sundang dan Kampung Bakau.

Sementara itu, ahli Majlis Tertinggi PSBS iaitu Sayang Jailani memberitahu bahawa kad keahlian itu dijual sehingga RM100 semata-mata mempercayai dapat melindungi keselamatan PATI.

Beliau berharap kepada sesiapa sahaja agar tidak terpengaruh apabila terserempak dengan pihak yang disyaki kerana pihaknya tidak pernah mengeluarkan kad keahlian tersebut.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.