`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, March 2, 2013

Lahad Datu: Kenyataan Tian Chua diselar


(Bernama) - Beberapa pemimpin dan pemerhati politik menyelar Naib Presiden PKR Tian Chua yang dilapor mengaitkan insiden tembakan di Lahad Datu, Sabah semalam dengan dakwaan konspirasi terancang kerajaan Umno untuk mengalih perhatian dan menakutkan rakyat.
Mereka berkata kenyataan Tian Chua (kiri) itu tidak bertanggungjawab dan keterlaluan memandangkan tindakan pihak berkuasa terhadap kumpulan bersenjata dari selatan Filipina itu bersabit soal keselamatan dan keamanan negara.
Bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata kenyataan Tian Chua itu adalah skrip standard dari DAP yang langsung tidak peka dan tidak sensitif kepada isu keselamatan negara.
“Dengan membuat kenyataan seumpama ini, dia boleh dianggap sebagai manusia yang mempunyai martabat paling rendah. Ini adalah satu kenyataan melulu yang tidak kita harapkan daripada seorang manusia yang sopan.
“Apa yang boleh kita harapkan daripada dia apabila kita betul-betul berada dalam peperangan jika dia boleh mengeluarkan kenyataan seumpama itu terhadap insiden pencerobohan di Lahad Datu,” katanya kepadaBernama apabila dihubungi.
Antara lain, laporan yang tersiar di laman berita rasmi PKR itu memetik Tian Chua sebagai berkata pencerobohan di Lahad Datu itu hanya sandiwara kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat, seolah-olah wujud suasana tidak aman di Sabah.
“Ada konspirasi oleh kerajaan Umno untuk mengalih pandangan rakyat Sabah, terutama dalam isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing,” kata anggota Parlimen Batu itu.
Justeru, Tunku Abdul Aziz mahu rakyat menilai peribadi Tian Chua dan berfikir sebelum memilih pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang.
Dua anggota komando Polis Diraja Malaysia terbunuh manakala tiga lagi cedera dalam insiden tembakan di Kampung Tanduo, Lahad Datu membabitkan kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina.
Kejadian itu turut menyaksikan 12 penceroboh bersenjata yang merupakan sebahagian daripada 180 pengikut ‘Sultan Sulu’ yang dikepung pasukan keselamatan Malaysia, terkorban.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan menyifatkan kenyataan Tian Chua itu sebagai “jahat dan jahil” .
“Umno tidak akan mempermainkan soal keselamatan negara dan tidak mungkin menjadi pengkhianat kepada negara tercinta yang Umno telah berjuang untuk memerdekakan.
“Umno bukan macam pembangkang dalam beberapa peristiwa yang lepas telah mengkhianati negara ini,” katanya.
Nada sama dilontarkan Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali yang menggelar Tian Chua sebagai “pembawa cerita bohong bersiri” yang sentiasa mencari kesalahan Umno dan kerajaan walaupun dalam situasi genting.
“Dia adalah ekstremis dan saya tidak terkejut dengan kenyataannya itu. Memang tugas dia memburukkan Umno tanpa bukti, tapi secara spontan… Ini membabitkan isu keselamatan, dan bukan (masa untuk) political mileage,” tegasnya.
Bekas Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Datuk Muhammad Abdul Ghani pula berkata seharusnya semua pihak ketika ini bersatu dan tidak mencampur aduk politik dengan soal keselamatan negara.
Tegasnya, tindakan sewajarnya harus diambil terhadap Tian Chua dan mana-mana pihak yang dilihat menghasut rakyat supaya tidak mengulangi perbuatan sama.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.